Siaran Akhbar dan Foto : Brunei Insurance and Takaful Association
TOKYO, JEPUN, Isnin, 21 September. - Brunei Insurance and Takaful Association (BITA) telah menyertai East Asian Insurance Congress (EAIC) Ke-31 Tokyo 2026 yang berlangsung selama tiga hari, dari 14 hingga 16 September 2026 di Tokyo, Jepun.
Persidangan berkenaan menghimpunkan para pemimpin industri dan wakil ahli dari rantau berkenaan bagi membincangkan trend-trend utama yang sedang membentuk sektor insurans.
Delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) diketuai oleh Pengerusi BITA, Awang Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya; Pemangku Ketua Tokio Marine Insurance Singapore Ltd. (Cawangan NBD), Amelia Lim Wen Sien; dan Pengurus BITA, Jack Gan.
Antara acara yang menjadi tumpuan pada persidangan berkenaan ialah penyertaan Amelia Lim Wen Sien dalam sesi perbincangan panel bertajuk 'Talent, Trust and Transformation'.
Perbincangan panel berkenaan menyentuh mengenai bagaimana Kecerdasan Buatan (AI) kini mengubah peranan dalam peringkat awal kerjaya, di samping menekankan bahawa pertimbangan profesional dan empati kekal penting dalam sektor perniagaan.
Panel berkenaan turut menekankan kepentingan bagi syarikat-syarikat insurans dan pengendali takaful untuk menilai semula pendekatan pembangunan bakat dalam menghadapi landskap industri yang berkembang dengan pesat.
Persidangan berkenaan turut membincangkan isu jurang perlindungan, kerjasama serantau, peluang pasaran serta daya tahan industri, yang mencerminkan pelbagai cabaran dan peluang yang dihadapi oleh sektor insurans di seluruh Asia.
Persidangan selama tiga hari berkenaan diakhiri dengan Majlis Penutupan dan Jamuan, yang turut menyaksikan pengumuman Ahli Lembaga Eksekutif baharu bagi EAIC Ke-32.
Persidangan EAIC seterusnya akan diadakan di Bangkok, Thailand pada 2028.