Pertandingan Karaoke meriahkan Sambutan Hari Keluarga PKWE DBM

27 Nov 2026 - 7:12am

Siaran Akhbar dan Foto : Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei dan Muara

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 November. – Pertandingan Karaoke sempena Hari Keluarga Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei dan Muara (PKWE DBM) telah berlangsung di Dewan Legar, PKWE DBM, Lambak Kanan, hari ini.

Pertandingan berkenaan merupakan acara tahunan yang dianjurkan bagi kali kelima sebagai salah satu usaha berterusan PKWE BM dalam menyediakan aktiviti yang sihat, bermanfaat dan menyeronokkan kepada para ahlinya.

Selain menjadi wadah hiburan, Pertandingan Karaoke tersebut juga berperanan sebagai platform untuk meningkatkan keyakinan diri, mengasah bakat serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga emas.

Pertandingan pada kali ini diadakan secara berkumpulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada empat ahli, iaitu dua lelaki dan dua perempuan. Sebanyak sembilan kumpulan yang terdiri daripada ahli PKWE DBM menyertai pertandingan berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut, Pengarah Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Mohd. Abdoh bin Haji Awang Damit.

Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan.