PGGMB lancar Kindy Wellness Nest

27 Nov 2026 - 6:25am

Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 November. - Dalam usaha berterusan bagi meningkatkan kualiti pembelajaran awal dan penjagaan kanak-kanak dengan lebih efektif, sebuah klinik Taska yang dipanggil dengan nama Kindy Wellness Nest telah ditubuhkan dan dilancarkan hari ini di Sungai Akar.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan pelancaran Kindy Wellness Nest, Yang Dipertua Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), Awang Haji Mustapa bin Haji Masri, selaku Pengerusi Day Care PGGMB.

Atur cara dimulakan dengan lawatan ke bilik-bilik di Day Care berkenaan, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat.

Pengurus Day Care PGGMB, Dayang Hajah Haniah binti Haji Apong dalam ucapannya menjelaskan sebagai salah satu tindak balas kepada ancaman-ancaman penyakit berjangkit, Jawatankuasa PGGMB Daycare telah memperuntukkan satu bahagian khas dengan tujuan utama bukan sahaja sebagai ‘Sick Bay’, malah sebagai satu bahagian yang akan membuat rancangan-rancangan pencegahan dan prosedur-prosedur operasi standard dalam menangani sebarang ancaman jangkitan khususnya dan kesihatan warga Daycare amnya.

“Dengan rasa bangganya, kami mewujudkan Kindy Wellness Nest yang ditadbir urus oleh seorang Pembantu Jururawat lulusan Kejururawatan Tahap 3, yang telah ditempatkan di bahagian ini.

“Kami seterusnya amat berterima kasih kepada Klinik Dr. Amir kerana menerima tawaran kami untuk bekerjasama dalam menangani serta memberi nasihat dan pandangan kesihatan khusus bagi kanak-kanak di bawah jagaan PGGMB Daycare,” ujarnya lagi.

Beliau seterusnya menzahirkan penghargaan beliau di atas keprihatinan pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat yang telah memberikan teguran yang amat membina demi kelangsungan pentadbiran dan perjalanan PGGMB Daycare.