Polis Sydney rampas 107kg ketamin, dua warga UK didakwa

28 Jul 2026 - 10:57am

SYDNEY, 27 Julai. - Seorang lelaki dan seorang wanita daripada United Kingdom (UK) didakwa selepas polis Sydney mengesan dan merampas lebih 100 kilogram (kg) ketamin dalam sebuah kereta sewa, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan, polis New South Wales (NSW) berkata dua kg ketamin pada mulanya dirampas di sebuah unit di utara Sydney pada Ahad oleh pegawai yang menyiasat dakwaan mengenai pembekalan dadah di kawasan itu.

Tiga hari kemudian, polis menggeledah sebuah bilik hotel di utara Sydney dan menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan wanita berusia 23 tahun, kedua-duanya warga UK.

Kira-kira 105kg ketamin ditemukan semasa pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang dipercayai disewa lelaki berusia 30 tahun itu.

Beberapa telefon bimbit, wang tunai AUD2,000 (AS$1,400) dan dokumen dirampas daripada bilik hotel berkenaan.

Warga UK itu dibawa ke balai polis dan didakwa membekalkan dadah terlarang dalam kuantiti yang lebih besar daripada atau sama dengan kuantiti komersial yang besar. Kesalahan itu membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Mereka juga didakwa dengan kesalahan yang lebih ringan iaitu membekalkan dadah dalam kuantiti yang lebih besar daripada kuantiti yang boleh didakwa.

Polis berkata mahkamah akan turut diberitahu bahawa lelaki dan wanita itu datang ke Australia semata-mata untuk tujuan pengedaran dan pembekalan dadah terlarang dalam kuantiti komersial. - ©BERNAMA