PPDB, SPF laksana Eksesais Solar Wind VII

26 Nov 2026 - 6:52am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

TUTONG, Rabu, 25 November. - Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama Pasukan Polis Singapura (SPF) baru-baru ini melaksanakan Eksesais Solar Wind VII selama empat hari, bertempat di Padang Tembak Binturan, Penanjong Garison.

Eksesais yang melibatkan hampir 100 orang peserta ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PPDB dan SPF dalam meningkatkan kesiapsiagaan operasi khususnya dalam bidang siasatan pasca letupan (Post-Blast Investigation), di samping memperkukuhkan kerjasama antara agensi tempatan dan luar negara.

Sebanyak lima letupan sebenar telah diledakkan sepanjang eksesais tersebut, diikuti dengan latihan siasatan di lokasi kejadian letupan yang disertai oleh para peserta.

Latihan ini bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran peserta dalam mengendalikan tempat kejadian, mengumpul bahan bukti, mengenal pasti punca letupan serta meneliti dan membina semula kronologi yang membawa kepada kejadian tersebut.

Turut mengambil bahagian dalam eksesais ini ialah dua orang anggota daripada Skuadron Kedua, Kimia, Biologi, Radiologi dan Letupan, Rejimen Jurutera, Tentera Darat Diraja Brunei (2Skn KBRL RJ TDDB).

Penglibatan mereka turut memperkukuhkan jalinan kerjasama antara agensi dalam bidang siasatan pasca letupan.

Pelaksanaan eksesais ini mencerminkan komitmen berterusan PPDB dan SPF dalam memantapkan keupayaan penyiasatan forensik serta memperkasa perkongsian kepakaran dan amalan terbaik bersama SPF dan agensi-agensi keselamatan negara yang lain dalam menangani insiden-insiden berkaitan letupan.