Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 Julai. – Pusat Pekerjaan Brunei (PPB), Jabatan Perdana Menteri (JPM) meneruskan pelaksanaan 'Program Persediaan Pekerjaan (PPP)' sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan pencari kerja.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan diri, persediaan kerjaya serta pendedahan kepada realiti dan keperluan semasa pasaran pekerjaan.
Dalam ucapan alu-aluan semasa Majlis Perasmian program, Pemangku Pengarah PPB, Dayang Hajah Hamizah binti Dato Paduka Haji Mohd. Nor, menjelaskan bahawa program yang mula diperkenalkan pada 2025 telah diperbaiki dengan memperkenalkan dua laluan yang lebih bersasar, iaitu Career Readiness Bootcamp yang dikhususkan bagi graduan dan pencari kerja baharu, manakala Career Rebuild Bootcamp pula dikhususkan bagi individu yang memerlukan sokongan tambahan untuk membina semula keyakinan dan kembali aktif dalam pasaran pekerjaan.
Jelasnya lagi, Career Readiness Bootcamp yang dilaksanakan secara rintis pada minggu ini merupakan hasil kerjasama strategik antara PPB dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang disertai oleh 50 graduan dalam bidang Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), Pengajian Islam, Syariah, Undang-undang Syariah, Usuluddin, Bahasa Arab serta Al-Quran dan Qiraat.
Para peserta tambahnya, merupakan graduan dari Universiti Al-Azhar, Mesir; Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB); Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB); dan Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah (STAHB).
"Sepanjang ‘bootcamp’ tersebut, para peserta akan mengikuti sesi meliputi pembangunan diri, kemahiran insaniah, literasi digital, penerokaan kerjaya, keusahawanan dan penjanaan pendapatan alternatif.
"Program turut merangkumi simulasi, perkongsian pengalaman serta pendedahan secara langsung daripada pihak industri.
"Selain meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, program bertujuan untuk membantu para peserta mengenali potensi diri, membina keyakinan, dan meluaskan perspektif terhadap laluan kerjaya yang merentasi pelbagai bidang," ujarnya lagi.
Dayang Hajah Hamizah turut menekankan bahawa kelayakan akademik merupakan asas yang penting, namun perlu dilengkapi dengan kebolehsuaian, kemahiran baharu serta kesediaan untuk terus belajar.
Para peserta juga katanya lagi, diseru agar mengikuti program berkenaan dengan minda terbuka, dan lebih berani mempertimbangkan peluang yang mungkin berada di luar laluan kerjaya yang lazim dikaitkan dengan bidang pengajian mereka.
Pelaksanaan program berkenaan mencerminkan pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation melalui kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Rakan-rakan program yang terlibat akan menyumbangkan kepakaran dan bimbingan dalam bidang masing-masing melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR).
Antara rakan program yang terlibat ialah Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Epipeople Management & Consultancy Sdn. Bhd., Joint Initiative for the Wellbeing of All (JIWA.BN) dan Scientia Labs.
Program berkenaan turut diterajui oleh Jurulatih Kerjaya Bertauliah (Career Coach) dari PPB.
Kerjasama berkenaan dihasratkan untuk menyokong pembangunan kemahiran anak tempatan sebagai tenaga kerja masa hadapan yang berilmu, berdaya tahan, mudah menyesuaikan diri dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negara, selaras dengan matlamat pertama Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Career Readiness Bootcamp selama lima hari berkenaan dilaksanakan pada Isnin, 27 Julai 2026 hingga Sabtu, 1 Ogos 2026, di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan, KHEU.
Sehubungan itu, mana-mana pihak industri, syarikat, agensi atau NGO yang berminat untuk bekerjasama sebagai rakan program bagi pelaksanaan PPP pada masa akan datang dialu-alukan untuk menghubungi Unit Perkhidmatan Kerjaya dan Sokongan, PPB melalui talian +673 7291785.