Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Perundingan Mukum Berakas ‘B’
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Oktober. - Program Sentuhan Ihsan : Menyantuni Komuniti anjuran Mukim Berakas ‘B’ diteruskan lagi pada hari ini sebagai salah satu usaha kemasyarakatan dalam mendekati serta menyantuni penduduk yang memerlukan perhatian dan sokongan.
Rombongan berkenaan diketuai oleh Penghulu Mukim Berakas ‘B’, Awang Haji Syed Mohd. Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah.
Rombongan turut disertai oleh Ketua Kampung Kawasan 2, Rancangan Perumahan Negara (RPN), Kampung Lambak Kanan, Awang Haji Omar bin Haji Sapar, serta ahli-ahli majlis perundingan kampung berkenaan.
Bagi pelaksanaan kali ini, sebanyak dua buah keluarga di kampung berkenaan telah disantuni melalui inisiatif Sentuhan Ihsan, sebagai tanda keprihatinan dan kebersamaan terhadap masyarakat setempat.
Program Sentuhan Ihsan merupakan antara inisiatif kemasyarakatan Mukim Berakas ‘B’ yang membawa hasrat ke arah memperkukuh nilai ihsan, kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
Semoga usaha seumpama berkenaan akan terus memperkukuh semangat pemedulian, kebajikan dan muafakat dalam kalangan warga Mukim Berakas ‘B’.