Punca kematian 2 lelaki dalam siasatan

30 Okt 2026 - 6:28am

Siaran Akhbar : Pasukan Polis Diraja Brunei

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 29 Oktober. - Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin memaklumkan bahawa Balai Polis Limau Manis telah menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian seorang individu membuat kacau di hadapan sebuah kediaman di Kampung Limau Manis.

Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati dua orang lelaki telah disahkan meninggal dunia.

Siasatan awal mendapati kematian kedua-dua lelaki tersebut dipercayai berpunca daripada pergaduhan yang berlaku antara mereka. Beberapa barang bukti termasuk senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut turut dirampas bagi membantu siasatan.

Kedua-dua jasad si mati telah dibawa ke Bilik Mayat Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha untuk pemeriksaan bedah siasat. Punca sebenar kematian kedua-dua individu tersebut masih dalam siasatan dan tertakluk kepada hasil pemeriksaan bedah siasat.

PPDB turut mengambil maklum mengenai penularan gambar-gambar berkaitan kejadian ini di media sosial.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang gambar atau video berkaitan kejadian demi menghormati privasi dan perasaan ahli keluarga si mati.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini adalah diminta untuk menghubungi Talian Kecemasan Polis 993 bagi membantu pihak polis dalam siasatan.