Raptai penuh pastikan kelancaran Majlis Ramah Mesra Daerah Belait

28 Jul 2026 - 6:25am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Mohammad Hasif Matzin

KUALA BELAIT, Isnin, 27 Julai. - Daerah Belait akan menjadi daerah ketiga bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026.

Sehubungan itu, bagi memastikan kelancaran majlis dan sebagai persiapan bagi menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli  pada majlis berkenaan nanti, satu acara raptai penuh diadakan di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait, hari ini.

Berangkat bagi menyaksikan raptai penuh ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026.

Juga hadir menyaksikan raptai penuh berkenaan, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-80 bagi Tahun 2026. 

Turut berangkat ialah Pemangku Grand Chamberlain, Pejabat Kebawah DYMM, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali  selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-80 bagi Tahun 2026.

Raptai turut dihadiri oleh Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Setiausaha-setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap KHEDN, Pemangku Pegawai Daerah dan Ahli-ahli Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-80 Tahun.

Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-80 bagi Tahun 2026 akan diadakan pada Sabtu, 17 Safar 1448 Hijrah bersamaan 1 Ogos 2026 Masihi bertempat di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait.