SU Beribi raikan kejayaan murid SSSRU Darjah VI

3 Nov 2026 - 7:20am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Ihsan Jabatan Pengajian Islam

BERIBI, Isnin, 2 November. – Bagi meraikan murid-murid sesi petang yang berjaya menamatkan persekolahan ugama sehingga lulus Darjah VI dalam Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) serta memberi pengiktirafan kepada pelajar cemerlang, Sekolah Ugama Beribi Gadong mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Peperiksaan SSSRU Darjah VI Tahun 2025 Masihi pada petang tadi bertempat di Dewan Fathul Busyra, sekolah berkenaan.

Majlis berkenaan menyaksikan penyampaian sijil kepada 129 murid, termasuk lapan murid berkeperluan khas.

Hadir selaku tetamu khas, Dayang Hajah Jamaliah binti Haji Yassin, iaitu mantan Guru Besar, Sekolah Ugama Beribi, Gadong yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada murid-murid yang diraikan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Awang Zool Hamly bin Haji Zaini, tenaga pengajar, diikuti bacaan Surah Taha ayat satu hingga lima oleh Awang Haji Muhammad Aiman Rayyan bin Haji Mohamad Fazilah, serta ucapan alu-aluan oleh Guru Besar Sekolah Ugama Beribi Gadong, Dayang Hajah Rosita binti Haji Abd. Rahman, selaku Pengerusi Majlis.

Majlis diteruskan dengan persembahan tausyeh dan diteruskan dengan penyampaian sijil kepada murid-murid yang diraikan, penyampaian hadiah pelajar cemerlang tahun 2025 serta cenderamata kepada guru-guru Darjah VI tahun 2025 sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Penganjuran majlis berkenaan merupakan tanda penghargaan terhadap pencapaian murid hasil usaha gigih mereka, sokongan ibu bapa serta komitmen dan dedikasi para guru dalam mendukung kecemerlangan pendidikan ugama.