Siaran Akhbar dan Foto : Biro Kawalan Narkotik
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Oktober. - Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Pemulihan Antarabangsa dengan bertemakan ‘Sinar Menuju Pemulihan, Bersama Komuniti’, Biro Kawalan Narkotik (BKN) melalui Divisyen Rawatan dan Pemulihan (DRP) telah menganjurkan Pertandingan Bola Sepak ‘Recovery Cup’ pada baru-baru ini bertempat di Kompleks Sukan Tutong, Jabatan Belia dan Sukan, Daerah Tutong.
Pertandingan berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemulihan daripada penyalahgunaan dadah, di samping mempromosi sukan sebagai medium sokongan pemulihan yang mampu membentuk gaya hidup sihat.
Selain itu, pertandingan berkenaan juga bertujuan untuk mengurangkan stigma terhadap individu yang menjalani pemulihan serta menggalakkan penerimaan dan sokongan masyarakat terhadap usaha pemulihan dan reintegrasi sosial.
Sebanyak lapan pasukan menyertai pertandingan berkenaan, yang terdiri daripada agensi kerajaan, sektor swasta dan persatuan.
Acara berkenaan telah dihadiri oleh tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Paduka Awang Haji Mohd. Zalani bin Haji Ismail, merangkap Pengarah Biro Kawalan Narkotik.
Pertandingan berkenaan menyaksikan Pasukan Jabatan Penjara muncul sebagai juara, diikuti oleh Pasukan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) di tempat kedua, manakala Pasukan Al-Hijrah menduduki tempat ketiga.
Penganjuran Pertandingan Bola Sepak berkenaan bukan sahaja menjadi wadah untuk memupuk semangat kesukanan dan mengeratkan hubungan antara peserta dengan komuniti, malah turut menyampaikan mesej bahawa sokongan dan penerimaan masyarakat memainkan peranan penting dalam membantu mereka membina kehidupan yang lebih positif serta bermakna.