Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Azmah Haji Ahad
BELAIT, Rabu, 14 Oktober. - Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait mengadakan Sambutan Hari Profesion Kesihatan Bersekutu Antarabangsa 2026 (International Allied Health Professions Day 2026) bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan profesional kesihatan bersekutu dalam penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti, menyeluruh dan berpusatkan pesakit.
Hari Profesion Kesihatan Bersekutu Antarabangsa disambut pada 14 Oktober setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan peranan profesional kesihatan bersekutu dalam sistem penjagaan kesihatan.
Hospital SSB mempunyai 14 unit Kesihatan Bersekutu yang menyediakan pelbagai perkhidmatan khusus, termasuk diagnostik, rawatan, pemulihan, kaunseling dan promosi kesihatan.
Sambutan pada tahun ini membawa tema tempatan iaitu ‘Allied Health Together : Connect. Celebrate. Inspire’, yang menekankan kepentingan kerjasama, hubungan antara profesion, penghargaan serta kesejahteraan dalam kalangan warga kesihatan bersekutu.
Selain menghargai sumbangan profesional kesihatan bersekutu, sambutan ini juga bertujuan memperkukuh semangat kerjasama dan kerja berpasukan dalam kalangan 14 unit Kesihatan Bersekutu di Hospital SSB.
Sambutan ini turut menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya para pelajar, mengenai kepelbagaian profesion, perkhidmatan, laluan pendidikan dan peluang kerjaya dalam bidang kesihatan bersekutu.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Perkhidmatan Hospital, Kementerian Kesihatan, Dr. Dayang Hajah Lailawati binti Haji Jumat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Guru Ugama, Awang Haji Md. Ali Omar, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Perkhidmatan Kesihatan Bersekutu (AHP), Hospital SSB, Dayang Aminah binti Haji Abdullah, selaku Pengerusi Bersama Sambutan. Dayang Aminah antara lain menjelaskan, sambutan pada tahun ini bukan sahaja bertujuan menghargai sumbangan warga Allied Health, tetapi juga menjadi wadah untuk mengukuhkan kerjasama, memperkasa perkongsian ilmu serta meningkatkan kefahaman mengenai peranan dan kepakaran setiap disiplin Allied Health. Majlis diteruskan dengan ucapan dan perasmian oleh tetamu kehormat majlis.
Sempena sambutan tersebut, pelbagai aktiviti interaktif, pameran dan perkongsian maklumat mengenai kesihatan serta peluang kerjaya dalam bidang kesihatan bersekutu turut diadakan di Ruang Legar Klinik-klinik Pakar, Aras Bawah, Hospital SSB, Kuala Belait.
Aktiviti-aktiviti berkenaan dibukakan kepada orang ramai mulai pukul 9.30 pagi hingga 1.30 petang. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Perkhidmatan Kesihatan serta pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan dan Hospital SSB, Kuala Belait.