Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
TUNGKU LINK, Rabu, 14 Oktober. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) menekankan kepentingan membina hubungan positif, memupuk rasa kebersamaan dan menjaga kesejahteraan mental di tempat kerja menerusi Forum Dialog Terbuka sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026, hari ini.
Forum bertajuk 'BREWing Conversation: Creating Connection, Enriching Belongingness and Wellbeing' tersebut berlangsung di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), UBD.
Hadir selaku tetamu kehormat, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal dan Tadbir Urus Universiti) UBD, Dayang Hajah Maudena binti Haji Abdul Hamid.
Forum berkenaan mengetengahkan perbincangan secara santai dan interaktif mengenai pengalaman harian yang mempengaruhi kesejahteraan di tempat kerja termasuk membina hubungan bermakna, memperkukuh sikap saling menghormati, menyokong rakan sekerja serta mengekalkan amalan kerja yang mampan dan batasan yang sihat.
Forum tersebut menampilkan Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Z-MAO Management Services dan mantan Pengarah Sumber Manusia Brunei Shell Petroleum Co. Sdn. Bhd., Hajah Zainab M.A. Omar, bersama Pensyarah Bimbingan dan Kaunseling Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE) merangkap Pengerusi ASEAN Counseling Network (ASCON), Profesor Dr. Mansor Abu Talib.
Forum dikendalikan oleh Penolong Profesor Kanan SHBIE, Dr. Hajah Salwa binti Dato Seri Setia Haji Mahalle.
Selain forum, program pada hari ini diisi dengan dua sesi bengkel 'Mental Health First Aid: Supporting Depression and Anxiety' yang memberikan peluang kepada para peserta meningkatkan pengetahuan praktikal serta mempelajari pendekatan untuk menyokong kesejahteraan mental.
Program turut menyediakan platform kepada kakitangan dan mahasiswa untuk mengetengahkan pandangan melalui pertandingan poster bertemakan 'Psychological Safety in the Workplace and Study Environment'.
Selain itu, pameran daripada organisasi serta kumpulan yang terlibat dalam bidang kesihatan mental, kaunseling dan kesejahteraan juga diadakan bagi memperkenalkan sumber bantuan, perkhidmatan serta inisiatif yang boleh dimanfaatkan warga universiti.
Program dua hari bertemakan 'Lived Experiences Heard: Real Voices, Real Change' tersebut dianjurkan Pusat Kehidupan dan Kesejahteraan Universiti (UniHEALTH) dengan kerjasama Program Sarjana Kaunseling SHBIE dan Pejabat Alumni Universiti (UniALUMNI).
Pengarah UniHEALTH, Dr. Deeni Idris, merangkap Pengerusi Bersama Hari Kesihatan Mental UBD 2026, menegaskan tentang kepentingan memperkukuh literasi kesihatan mental, menggalakkan individu mendapatkan bantuan lebih awal dan mengurangkan stigma.
Beliau berkata, kesihatan mental ialah tanggungjawab bersama dan UBD berharap dapat mewujudkan persekitaran universiti yang membolehkan kakitangan serta mahasiswa berasa selesa mendapatkan bantuan dan saling menyokong.
Melalui sambutan itu, UBD terus mengiktiraf kesihatan mental sebagai aspek penting dalam kehidupan universiti.
Gabungan pengalaman sebenar, perspektif profesional dan pembelajaran praktikal diharap dapat menggalakkan pendekatan yang lebih berpengetahuan serta menyokong kesejahteraan mental dalam kalangan kakitangan dan mahasiswa UBD.