Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
ISTANBUL, REPUBLIK TÜRKİYE, Rabu, 25 November. - Dalam usaha memperluas jaringan strategik antarabangsa dan meneroka potensi kerjasama dalam pelbagai bidang keilmuan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan siri lawatan kerja selama dua hari iaitu pada 23 dan 24 November 2026 ke tiga buah universiti dan sebuah institusi penyelidikan antarabangsa di Istanbul, Republik Türkiye.
Delegasi UNISSA yang diketuai oleh Rektor UNISSA, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, yang disertai oleh Pendaftar UNISSA, Dayang Zalinawati binti Awang Haji Mohaimin dan Ketua Program Pra-Siswazah, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam UNISSA, Dr. Amni Suhailah binti Abarahan telah mengadakan lawatan ke Istanbul Sabahattin Zaim University (İZÜ), Marmara University, Ibn Haldun University (IHU) dan Research Centre for Islamic History, Art and Culture (IRCICA).
Siri lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik UNISSA dalam memperkasakan agenda pengantarabangsaan universiti melalui penerokaan peluang kerjasama baharu, pengukuhan hubungan institusi sedia ada serta pemanfaatan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai ke arah pelaksanaan program dan aktiviti yang memberikan manfaat bersama.
Dalam lawatan ke İZÜ, tumpuan perbincangan difokuskan kepada penerokaan potensi kerjasama dalam pelbagai bidang berlandaskan Memorandum Persefahaman yang telah dimeterai pada 1 Februari 2025 dan berkuatkuasa sehingga 31 Januari 2030.
Antara potensi kerjasama yang diketengahkan termasuklah pelaksanaan program mobiliti mahasiswa secara dua hala menerusi Study Abroad Programme (SAP) dan Student Exchange Programme (SEP), dan penerokaan kerjasama program dua ijazah (Dual Degree Programme).
Sementara itu, lawatan ke Marmara University yang merupakan kunjungan julung kalinya delegasi UNISSA ke universiti berkenaan, membuka jalan kepada penerokaan jaringan kerjasama akademik baharu antara kedua-dua buah universiti dengan mengenali secara lebih dekat latar belakang, kekuatan akademik dan bidang kepakaran universiti masing-masing.
Dalam lawatan ke IHU pula yang merupakan lawatan pertama Rektor UNISSA ke universiti berkenaan sejak pelantikan beliau pada 1 Ogos 2026, memberi penekanan kepada penerokaan peluang kerjasama yang dapat direalisasikan melalui MoU yang telah dimeterai pada 16 September 2025 dan berkuat kuasa sehingga 15 September 2030.
Antara potensi kerjasama yang diketengahkan termasuklah pelaksanaan program mobiliti mahasiswa prasiswazah secara dua hala menerusi SAP dan SEP, penyeliaan bersama (Joint Supervision) bagi mahasiswa di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), serta penerokaan kemungkinan pelaksanaan program dua ijazah (Dual Degree Programme) dalam bidang pengajian yang bersesuaian.
Delegasi UNISSA turut mengadakan lawatan ke IRCICA, sebuah institusi di bawah naungan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang memberikan tumpuan kepada bidang sejarah, kesenian, kebudayaan dan ketamadunan Islam. Lawatan tersebut bertujuan meneroka potensi kerjasama dalam bidang perkongsian ilmu dan kepakaran dan penganjuran kegiatan ilmiah dalam seni kaligrafi Islam.
Dalam siri perjumpaan berasingan, Rektor UNISSA juga telah berkesempatan untuk bertemu dengan Rektor Universiti Zaitunah, Tunisia, Profesor Mohammed Rizqi, sebuah universiti yang mempunyai akar sejarah keilmuan Islam yang panjang, khususnya dalam bidang pengajian Islam dan bahasa Arab.
Perjumpaan tersebut membuka ruang ke arah jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua buah universiti dalam memperkukuh peranan masing-masing dalam pengembangan ilmu dan pembinaan peradaban ummah.
Secara keseluruhannya, siri jelajah tersebut mencerminkan pendekatan proaktif UNISSA dalam mengenal pasti peluang kerjasama yang mempunyai nilai strategik kepada pembangunan universiti, khususnya dalam aspek pengembangan akademik, mobiliti mahasiswa, penyelidikan, perkongsian kepakaran dan pemeliharaan warisan keilmuan Islam.
UNISSA memberikan penekanan bukan sahaja kepada peluasan jaringan kerjasama antarabangsa, bahkan kepada usaha menterjemahkan potensi kerjasama tersebut kepada program dan aktiviti yang
konkrit, produktif, berimpak dan mampan.
Melalui siri jelajah ini, UNISSA berharap dapat membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada mahasiswa serta ahli akademik untuk memperoleh pengalaman, memperluas ufuk keilmuan dan membina jaringan profesional di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan UNISSA sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi Islam yang berdaya saing di persada global.