Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
GADONG, Rabu, 21 Oktober. - Negara Brunei Darussalam (NBD) tidak terkecuali daripada perubahan global. Sepanjang dekad yang lalu, NBD telah menunjukkan daya tahan dan keupayaan menyesuaikan diri dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar.
Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin berkata, seiring dengan usaha mempelbagaikan ekonomi yang semakin giat dilaksanakan, sektor bukan minyak dan gas jelas Yang Berhormat, mencatatkan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 2.7 peratus antara tahun 2016 hingga 2025.
Sektor kewangan pula terus diperkukuh, dengan jumlah aset sistem kewangan mencecah kira-kira BND27.4 bilion pada suku kedua tahun 2026. Pembiayaan perniagaan oleh bank meningkat kepada BND6.2 bilion pada separuh pertama tahun 2026, iaitu dua kali ganda berbanding paras yang dicatatkan sedekad sebelumnya.
Menurut Yang Berhormat, pertumbuhan ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil daripada pilihan yang dibuat secara terancang, dasar-dasar yang berpandangan jauh, serta kepimpinan strategik yang menerima perubahan, inovasi, dan peluang-peluang baharu demi mencapai pembangunan negara jangka panjang.
Berucap semasa menyampaikan ucapatama pada Majlis Perasmian Persidangan Kepimpinan 2026 di Hotel Antarabangsa Rizqun, Yang Berhormat menyatakan acara tersebut menghimpunkan para pemimpin, golongan profesional, dan pengamal untuk meneroka topik yang menjadi teras kepada kejayaan sesebuah organisasi iaitu kepimpinan yang mencetuskan transformasi serta memberikan impak yang berkekalan.
“Memandangkan kita kini berada dalam persekitaran yang dicirikan oleh perubahan teknologi yang pesat, dinamik ekonomi yang berubah-ubah, serta jangkaan masyarakat yang kian berkembang, tuntutan terhadap para pemimpin menjadi semakin mencabar berbanding sebelum ini.
“Situasi ini menuntut pemimpin yang mampu menerima perubahan, menyemai keyakinan, memupuk inovasi, serta memandu organisasi mereka mengharungi kerumitan dengan hala tuju yang jelas dan bermakna. Dalam landskap sebegini, keupayaan untuk menyesuaikan diri dan melakukan transformasi bukan lagi sekadar kelebihan daya saing, malah merupakan satu keperluan mutlak bagi mencapai kejayaan yang berterusan,” ujar Yang berhormat lagi.
Menurut Yang Berhormat, berlatarbelakangkan senario itu, tema persidangan tahun ini, iaitu 'Metamorfosis', adalah sangat tepat pada masanya dan cukup bermakna. Istilah ini, yang berkait rapat dengan transformasi, mengajak kita untuk merenung satu persoalan penting dalam memandangkan dunia di sekeliling kita berubah dengan begitu pantas, di samping, bagaimanakah kepimpinan harus berevolusi dan memperbaharui diri agar kekal berkesan serta memberi impak?
Metamorfosis juga tambah Yang Berhormat, membawa maksud yang lebih mendalam daripada sekadar penyesuaian diri. Ia terangnya, melambangkan transformasi asas dalam cara kita berfikir, memimpin, dan mencipta nilai. Ia menuntut keberanian untuk melangkah keluar daripada zon selesa; kebijaksanaan untuk menyedari apabila pendekatan sedia ada tidak lagi memadai; serta keyakinan teguh untuk membentuk masa depan yang lebih baik.
Oleh itu, pemimpin yang paling berkesan tegas Yang Berhormat lagi, bukanlah mereka yang sekadar mengekalkan keadaan sedia ada, sebaliknya mereka yang mampu membayangkan potensi masa depan dan menginspirasikan orang lain untuk bersama-sama mewujudkannya.
“Mereka membina pasukan yang berkebolehan, memperkasakan generasi akan datang, serta menyatukan warga organisasi demi satu tujuan yang lebih besar daripada kepentingan peribadi. Dengan berbuat demikian, mereka memastikan bahawa kemajuan tidak bergantung kepada mana-mana individu semata-mata, sebaliknya menjadi sebahagian daripada kekuatan dan kelangsungan organisasi itu sendiri,” terang Yang Berhormat.