Hubungan istimewa NBD, Republik Indonesia terus diperkukuhkan

22 Okt 2026 - 6:39am

Oleh : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

Foto : Pg Nur Hafilah Pg Osman, Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

 

JERUDONG, Rabu, 21 Oktober. - Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Negara Brunei Darussalam (NBD), menganjurkan Majlis Resepsi Diplomatik sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-81 Kemerdekaan Republik Indonesia pada malam tadi sebagai manifestasi komitmen untuk memperkukuh hubungan antara Republik Indonesia dan NBD yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Tarindak D’Polo, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin. 

Juga hadir ialah para pegawai kerajaan Brunei, ketua-ketua perwakilan, serta rakan-rakan yang berkaitan dengan Kedutaan Besar Republik Indonesia.

Dalam ucapannya, Duta Besar Republik Indonesia ke NBD, Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Achmad Ubaedillah antara lain mengetengahkan penglibatan Republik Indonesia dalam forum-forum antarabangsa, yang dipandu oleh dasar luar negara yang ‘bebas dan aktif’, serta disokong oleh daya tahan ekonomi nasional dan dasar perindustrian yang adaptif.

Tuan Yang Terutama Duta Besar Republik Indonesia ke NBD turut menekankan kepentingan hubungan dua hala antara Republik Indonesia dan NBD, khususnya dalam bidang politik dan ekonomi, termasuk sektor kesihatan, tenaga dan pelancongan, selain kerjasama dalam bidang sosiobudaya dan pertahanan.

Tuan Yang Terutama juga menyatakan keyakinan bahawa perkongsian ini dapat diperkukuh lagi melalui kerjasama yang lebih konkrit demi kemajuan kedua-dua negara.

Majlis turut diisikan dengan penyampaian anugerah kepada enam orang ahli diaspora Republik Indonesia di NBD sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dan sumbangan mereka selama ini.

Para penerimanya termasuk dalam bidang Seni dan Budaya, Ismaya bin H. Sukardi; manakala dalam bidang Perniagaan dan Perdagangan, dianugerahkan kepada Mijanti D. Rahardja, Acep Prasojo, dan Agus Dida Gustiawan; serta dalam bidang Pendidikan, Penyelidikan, Sains, dan Teknologi, diberikan kepada Prof. Dr. Yulfian Aminanda dan Prof. Dr. Muhammad Nabil Almunawar.

Majlis tersebut turut mempamerkan kekayaan budaya Republik Indonesia melalui muzik dan tarian tradisional, serta pelbagai hidangan dari seluruh kepulauan itu.