Komitmen berterusan NBD membanteras jenayah rentas sempadan

22 Okt 2026 - 6:44am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perdana Menteri

MAKATI CITY, REPUBLIK FILIPINA, Rabu, 21 Oktober. - Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime - AMMTC) dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan Kali Ke-20 yang berlangsung di Makati City, Republik Filipina pada 19 hingga 21 Oktober 2026.

Majlis Pembukaan Mesyuarat AMMTC Kali Ke-20 dirasmikan oleh Secretary of the Department of the Interior and Local Government, Republik Filipina selaku Ketua AMMTC - Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Juanito Victor C. Remulla Jr. pada 20 Oktober 2026.

Delegasi NBD diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu dengan disertai oleh Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad selaku Ketua Senior Officials’ Meeting on Transnational Crime (SOMTC) NBD, serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Mesyuarat AMMTC dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan merupakan sebuah platform tahunan yang signifikan bagi Menteri-Menteri ASEAN yang bertanggungjawab dalam hal ehwal jenayah rentas sempadan untuk membincangkan trend semasa aktiviti jenayah serta situasi keselamatan serantau.

Mesyuarat ini didahului oleh Mesyuarat Persediaan SOMTC (Preparatory SOMTC) bagi AMMTC Kali Ke-20 yang diadakan pada 19 Oktober 2026.

Dalam ucapannya di Sidang Plenari AMMTC Kali Ke-20 pada 20 Oktober 2026, Yang Berhormat Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang) menegaskan komitmen berterusan NBD dalam menangani jenayah rentas sempadan, khususnya pemerdagangan orang (Trafficking in Persons - TIP), pengganasan dan ekstremisme ganas, pengubahan wang haram dan penipuan dalam talian, serta pengedaran dadah haram.

Yang Berhormat turut mengongsikan pencapaian signifikan NBD yang telah dinaiktaraf kepada Tahap 2 (Tier 2) daripada Senarai Pemerhatian Tahap 2 (Tier 2 Watch List) dalam Laporan Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat Tahun 2026, sekali gus mencatatkan peningkatan bagi dua tahun berturut-turut, dan menyatakan keyakinan bahawa perkongsian amalan terbaik oleh Republik Filipina selaku SOMTC Lead Shepherd bagi TIP dan Negara-Negara Anggota ASEAN turut menyumbang kepada kemajuan tersebut.

Menurut Yang Berhormat, pencapaian ini bukan sebagai titik akhir, tetapi sebagai dorongan untuk melakukan lebih banyak usaha.

Yang Berhormat juga menegaskan bahawa ancaman pengganasan tidak lagi bersifat konvensional, dengan kebimbangan utama kini tertumpu kepada pelaku tunggal (‘lone actor’), khususnya golongan belia yang terdedah kepada radikalisasi kendiri dalam talian.

Mengenai pembersihan wang haram, Yang Berhormat menjelaskan bahawa hasil penipuan dalam talian dipindahkan ke luar negara dengan lebih pantas daripada siasatan yang dijalankan maka rentas sempadan yang lebih pantas bagi penyiasatan.

Mengenai isu dadah, Yang Berhormat menyuarakan kebimbangan terhadap cubaan sindiket untuk mengeksploitasi NBD sebagai negara transit, serta menegaskan pendirian tegas negara dan tidak berkompromi terhadap kanabis, memandangkan trend normalisasinya di sesetengah negara boleh menimbulkan tanggapan salah dalam kalangan generasi muda bahawa kanabis tidak berbahaya, sedangkan hakikatnya ia membawa risiko serius terhadap kesihatan dan kesejahteraan.

Mengakhiri ucapan, Yang Berhormat menyatakan sokongan NBD terhadap Kenyataan Bersama Mesyuarat serta komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan Negara-Negara Anggota ASEAN ke arah rantau yang lebih selamat dan terjamin.

Seterusnya pada 21 Oktober 2026, AMMTC juga telah mengadakan konsultasi dengan Negara-Negara Rakan Dialog ASEAN iaitu konsultasi AMMTC + 3 Kali Ke-16; AMMTC + China Kali Ke-13; AMMTC + Jepun Kali Ke-11 dan AMMTC + Republik Korea Kali Ke-7.

Dalam sesi-sesi konsultasi berkenaan, Yang Berhormat telah menyuarakan komitmen NBD untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Negara-Negara Rakan Dialog ASEAN, serta merakamkan penghargaan atas sokongan yang dihulurkan dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan.

Semasa berada di Republik Filipina, Yang Berhormat juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Dalam Negeri, Malaysia selaku Ketua AMMTC - Malaysia, Yang Berhormat Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail dan Tuan Yang Terutama Juanito Victor C. Remulla Jr.

Pertemuan-pertemuan tersebut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam menangani penipuan dalam talian, pemerdagangan orang, pengedaran dadah serta jenayah rentas sempadan yang lain.

Mesyuarat AMMTC Kali Ke-20 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan telah dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Juanito Victor C. Remulla Jr. dan disertai oleh menteri-menteri, ketua-ketua delegasi dan pegawai-pegawai kanan dari Negara-Negara Anggota ASEAN.

Mesyuarat turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Agung ASEAN, Puan Yang Terutama Dato’ Astanah Abdul Aziz.