Usaha memperkasa masyarakat mahir, berkebolehan dalam Al-Quran

22 Okt 2026 - 5:10am

Siaran Akhbar dan Foto : Al-Muflihun Learning

BELAIT, Rabu, 21 Oktober. - Syarikat Al-Muflihun Learning dan PQT privatequranteacher dengan kerjasama Persatuan Sinar Islam baru-baru ini mengadakan Program Bimbingan Muallaf Siri Ke-1 : Pengukuhan Al-Quran bertempat di Bangunan Persatuan Sinar Islam, Kuala Belait.

Seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada kalangan mualaf dan orang awam hadir mengikuti program yang diungkayahkan oleh dua syarikat pemilik tunggal tersebut.

Antara pengisian melalui program yang diadakan adalah pengukuhan bacaan Surah Al-Fatihah sebagai satu rukun yang wajib dalam menunaikan solat serta pengajarannya yang disampaikan oleh Pengasas Al-Mulihun, Awangku Abdul Qayum bin Pengiran Bakar.

Selain daripada itu, sesi pemahaman surah melalui kaedah penerapan Bahasa Arab juga telah disampaikan oleh tenaga pembimbing iaitu Pengasas PQT privatequranteacher, Dayang Nur Darwismah binti Dahari.

Turut membantu dalam memberikan khidmat bagi program tersebut adalah penglibatan daripada mahasiswa Fakulti Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Program diserikan dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil kepada seluruh peserta yang telah sempurna mengikuti program tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Di-Pertua Persatuan Sinar Islam, Awang Abdul ‘Alim bin Abdullah Igol.

Dalam ucapan alu-aluan pengerusi program, Awangku Abdul Qayum mengharapkan agar program yang dijalankan dapat terus dikembangkan lagi pelaksanaannya ke tempat-tempat yang lain.

Di samping itu juga, menyokong sama usaha Al-Muflihun & PQT dalam membantu lebih ramai masyarakat lagi untuk mahir dan berkebolehan dalam membaca kitab suci Al-Quran.

Program yang diungkayahkan secara berkolaborasi ini diadakan bertujuan untuk memberikan bimbingan lanjutan kepada masyarakat mualaf dan seterusnya menambahkan lagi rasa minat terhadap bimbingan Al-Quran secara berterusan.

Selain daripada itu juga, Al-Muflihun & PQT mengharapkan agar melalui program ini, ia akan membuka jaringan kolaborasi yang lebih luas bersama mana-mana pihak-pihak sama ada sektor kerajaan, swasta ataupun badan bukan kerajaan (NGO).

Turut hadir dalam program tersebut ialah pegawai daripada UNISSA iaitu Timbalan Dekan Fakulti Bahasa Arab, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Abdullah dan Pensyarah daripada Fakulti Bahasa Arab, Dr. Hajah Norhayati binti Haji Abdul Karim.