YEAB memperluaskan penglibatan di peringkat antarabangsa

28 Jul 2026 - 5:41am

Siaran Akhbar dan Foto: Persatuan Usahawan Muda Brunei

QINGHAI PROVINCE, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Isnin, 27 Julai. - Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) telah mewakili Negara Brunei Darussalam (NBD) pada Festival Pertukaran Pemimpin Muda ASEAN-China Ke-12 2026 bermula 21 hingga 25 Julai 2026 sekali gus menegaskan komitmennya dalam memperkukuh kerjasama serantau, memperkasa pemimpin muda serta memupuk kolaborasi dalam bidang kelestarian dan inovasi.

Delegasi NBD, yang dijemput melalui Persatuan Persahabatan Brunei-China (BCFA), terdiri daripada James Goh, Izdihar Sulaiman dan Ahmad Fauzi yang mewakili YEAB, bersama ahli akademik NBD, Chang Ming Hui dan Dr. Nurul Amalina Suprem.

Festival ini dianjurkan oleh China People's Association for Friendship with Foreign Countries (CPAFFC) dan menghimpunkan pemimpin muda dari Negara-negara ASEAN dan Republik Rakyat China untuk bertukar idea, mengukuhkan hubungan rentas budaya serta meneroka peluang kerjasama pada masa hadapan.

Sepanjang program tersebut, para delegasi turut berpeluang mengadakan pertemuan dengan Presiden CPAFFC serta Gabenor dan Timbalan Gabenor Wilayah Qinghai, di mana perbincangan tertumpu kepada pembangunan hijau dan kerjasama ASEAN-China.

Antara kemuncak program ialah lawatan ke loji tenaga fotovolta solar terbesar di dunia, yang memberikan peluang kepada para delegasi untuk melihat sendiri bagaimana tenaga boleh diperbaharui berskala besar memacu peralihan Republik Rakyat China ke arah ekonomi rendah karbon.

Delegasi juga berpeluang melawat Pusat Penghantaran dan Kawalan Grid Pintar milik State Grid Corporation, sekali gus memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang bagaimana teknologi digital termaju dan Kecerdasan Buatan (AI) menyokong salah satu rangkaian tenaga boleh diperbaharui paling canggih di dunia.

Program diakhiri dengan lawatan ke beberapa mercu tanda semula jadi dan kebudayaan di Qinghai, termasuk Tasik Qinghai dan Taman Geopark Global UNESCO Kanbula, yang memberi peluang kepada para delegasi untuk lebih menghargai kepentingan alam sekitar serta warisan budaya yang kaya di wilayah tersebut.

Pengalaman ini memberikan YEAB pendedahan berharga mengenai tenaga boleh diperbaharui, inovasi digital dan kerjasama serantau, di samping mengukuhkan jaringan dengan rakan-rakan pemimpin muda dari seluruh ASEAN dan Republik Rakyat China.

Seiring dengan usaha YEAB memperluaskan penglibatan di peringkat antarabangsa, program pertukaran seperti ini mengukuhkan komitmennya untuk membawa perspektif global ke tanah air serta menyokong pembangunan ekonomi mampan NBD.

Untuk maklumat lanjut mengenai YEAB, layari yeabrunei.com atau ikuti @yeabrunei di Instagram dan Facebook.