Pasukan Bubu juara Bola Sepak Futsal Silaturahim

27 Nov 2026 - 7:10am

Berita dan Foto : Ihsan Haji Ahat Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 November. – Empat kemenangan berturut-turut yang diraih Pasukan Bubu telah menobatkan pasukan tersebut sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Futsal Silaturahim yang berlangsung baru-baru ini di Kompleks Sukan JKR.

Pasukan tersebut berjaya mengukuhkan kedudukan mereka selepas menundukkan Pasukan Pukat (2-0), Pasukan Selambau (2-1), Pasukan Kabat (2-0), Pasukan Kilong (2-0) dan hanya tewas di perlawanan terakhir kepada Pasukan Tugu (3-0).

Meskipun ditundukkan oleh Pasukan Tugu pada perlawanan terakhir liga, Pasukan Bubu telah layak sebagai juara mengatasi Pasukan Selambau yang menduduki naib juara melalui kelebihan jaringan.

Manakala, Pasukan Kilong pula di tempat ketiga; sementara Pasukan Tugu menduduki tempat keempat.

Tempat kelima pula disandang oleh Pasukan Pukat; manakala menduduki tempat keenam ialah Pasukan Kabat.

Hadir menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang, Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusli.

Kejohanan anjuran Gabungan Purih Mukim Saba (GPMS) berkenaan adalah bagi meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.

Pengerusi GPMS, Awang Muhammad Soffriana bin Haji Masri menjelaskan bahawa kejohanan tersebut juga salah satu acara bagi memperingati penubuhan setahun Kelab Bola Sepak GPMS.

Menyentuh nama-nama pasukan di kejohanan tersebut, beliau menyatakan bahawa nama-nama tersebut diambil daripada nama peralatan menangkap ikan yang digunakan oleh nelayan Kampong Ayer.

Dengan demikian tambahnya, orang ramai terutama generasi muda akan dapat mengenali peralatan tersebut yang satu ketika dulu digunakan bagi menangkap ikan.