Berita dan Foto : Ihsan Mohamad Reza HNG
PANAGA, Ahad, 11 Oktober. - Dewan Badminton BSRC telah menjadi saksi kepada malam yang penuh bersemangat dan erat silaturahim apabila ahli / komuniti BSRC bersama para pemain dari Atlet Remaja SKBD Daerah Belait, berentap menentang Pasukan RallyShot dalam satu Perlawanan Badminton Persahabatan.
Acara berkenaan telah berlangsung baru-baru ini di Dewan Badminton BSRC dan menghimpunkan kira-kira 60 orang peminat sukan badminton, dengan penglibatan sekitar 30 pemain mewakili setiap pasukan.
Perlawanan persahabatan ini bertujuan untuk memupuk semangat kemasyarakatan, menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, serta menyediakan platform bagi para pemain dari pelbagai peringkat kemahiran daripada bakat muda skim pembangunan kebangsaan hingga ahli komuniti tempatan untuk bertukar fikiran, mengasah kemahiran dan mengeratkan silaturahim di dalam gelanggang.
Sepanjang sesi empat jam tersebut, para peserta telah bersaing dalam pelbagai Kategori Perlawanan Beregu (Men's, Women's dan Mixed Doubles) dalam suasana yang penuh keharmonian dan kesukanan.
Acara ini membuktikan peranan sukan sebagai wadah berkesan dalam mengukuhkan hubungan antara kelab komuniti, skim kebangsaan sukan negara dan kelab-kelab sukan tempatan.