Ahli MMN bertanggungjawab memelihara tatakelakuan, kewibawaan majlis

9 Og 2026 - 7:41am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. – Menyentuh Perkara 4 iaitu mengenai pemakaian kod di dalam dan di luar negara, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin melihat perkara itu sebagai satu penegasan bahawa amanah seseorang ahli tidak terikat kepada lokasi.

Apabila menjalankan tugas atau mewakili majlis di luar negara kata Yang Berhormat, seseorang ahli terus memikul tanggungjawab untuk memelihara tatakelakuan, kewibawaan majlis dan nama baik negara.

“Memandangkan prinsip etika dan tatakelakuan telah pun diperuntukkan di bawah Perkara 3, mungkin dapat dipertimbangkan supaya kandungan Perkara 4 diserapkan ke dalam Perkara 1.6.

“Peruntukan tersebut boleh menjelaskan bahawa kod terpakai sama ada seseorang ahli berada di dalam atau di luar negara apabila menjalankan tugas atau bertindak atas kapasiti rasmi,” ujarnya Yang Berhormat semasa membincangkan Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Penyusunan ini tambah Yang Berhormat lagi, bukan untuk mengurangkan kepentingan Perkara 4, sebaliknya, ia bertujuan menghimpunkan skop pemakaian kod di bawah satu peruntukan yang sama supaya rujukannya lebih mudah serta tersusun, dan yang menjadi keutamaan ialah kapasiti yang dibawa serta amanah yang dilaksanakan oleh seseorang ahli.