Aplikasi mudah alih sistem penjejakan bas akan diperkenalkan

11 Og 2026 - 8:26am

Oleh : Hajah Rosidah Haji Ismail

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Kali Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, menjelaskan pembangunan pengangkutan awam juga tidak hanya tertumpu kepada perkhidmatan bas, tetapi turut melibatkan penambahbaikan infrastruktur dan penggunaan teknologi. 

Menurut Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12, Jabatan Pengangkutan Darat sedang melaksanakan beberapa inisiatif. Antara inisiatif tersebut termasuklah menaik taraf, mengemas kini dan memasang tiang-tiang bas serta pondok-pondok perhentian bas di seluruh negara. Ini adalah bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan para penumpang. Di samping itu, terdapat juga usaha untuk menyediakan dan menaik taraf infrastruktur pengangkutan awam bagi menyokong operasi bas, termasuk penerapan teknologi melalui Smart Transportation System atau STS bagi membantu menjadikan pengurusan lalu lintas dan pengangkutan lebih efisien. 

Pada masa yang sama, Yang Berhormat menjelaskan bahawa sistem penjejakan bas secara ‘real time’ melalui aplikasi mudah alih akan diperkenalkan. Melalui sistem ini, orang ramai akan dapat membuat tempahan bas secara ‘on-demand’, mengetahui kedudukan bas serta jangkaan waktu ketibaannya, insyaaAllah. Ini diharap dapat menjadikan perkhidmatan bas lebih mudah digunakan, telus serta seterusnya meningkatkan keyakinan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam. 

Kementerian juga menyedari bahawa pengangkutan awam mempunyai dimensi sosial yang penting. Bukan semua rakyat mempunyai akses kepada kenderaan persendirian dan terdapat golongan tertentu yang lebih bergantung kepada pengangkutan awam untuk ke tempat kerja, sekolah dan mendapatkan perkhidmatan asas. 

“Dalam hubungan ini, isu berkaitan perkhidmatan pengangkutan awam juga telah dibincangkan bersama dengan Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, yang turut menekankan kepentingan pengangkutan bas awam dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat di negara ini,” jelas Yang Berhormat lagi. 

Antara perkara yang turut dibincangkan ialah keperluan untuk mengadakan perkhidmatan percubaan atau projek ‘pilot’, termasuk DRT, serta membuat penelitian lanjut dari aspek sosial dan pengangkutan,” ujar Yang Berhormat. 

Menurut Yang Berhormat, penelitian ini mengambil kira keperluan golongan yang memerlukan, termasuk mereka yang mempunyai keterbatasan dari segi akses kepada pengangkutan, di samping menilai keberkesanan, kelangsungan dan kemampanan perkhidmatan tersebut.  Dalam hubungan ini, tambah Yang Berhormat lagi, kementerian sedang membuat penelitian terhadap kaedah pengoperasian, kadar tambang yang berpatutan serta bentuk sokongan yang bersesuaian kepada pengendali. Ini penting kerana perkhidmatan pengangkutan awam di kebanyakan negara memerlukan sokongan kerajaan, khususnya apabila jumlah penumpang masih rendah sedangkan tambang perlu dikekalkan pada tahap yang mampu dibayar oleh orang ramai. 

“Kesemua usaha ini bukan semata-mata untuk menyokong Tahun Melawat Brunei 2027, walaupun pengangkutan awam yang lebih baik tentunya akan memudahkan para pelancong bergerak ke tempat-tempat tarikan di negara ini. Yang lebih penting, apa yang sedang diusahakan ini adalah satu bentuk pelaburan jangka panjang untuk rakyat, supaya mereka mempunyai pilihan pengangkutan yang lebih baik, khususnya mereka yang tidak mempunyai kenderaan persendirian,” ujar Yang Berhormat. 

Dalam melaksanakan perkara ini, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi akan terus bekerjasama dengan kementerian-kementerian yang berkaitan, agensi kerajaan, pengendali dan pihak-pihak berkepentingan melalui pendekatan Whole-of-Nation.  

“Kesimpulannya, hala tuju kementerian adalah untuk membangunkan satu ekosistem pengangkutan awam yang lebih menyeluruh dengan menggabungkan laluan bas yang bersesuaian, perkhidmatan DRT, infrastruktur yang lebih baik, penggunaan teknologi serta bentuk sokongan yang diperlukan,” ujar Yang Berhormat. 

Seterusnya Yang Berhormat juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para pengusaha bas tempatan dan penyedia perkhidmatan pengangkutan awam lainnya atas sumbangan dan kerjasama dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam kepada orang ramai di negara ini.