Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 17 Ogos. – Baiduri Masters 2026 melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama dua hujung minggu dengan kutipan sebanyak BND75,000 untuk tujuan kebajikan.
Pencapaian berkenaan sekali lagi mengukuhkan peranan kejohanan tersebut sebagai wadah yang telah sekian lama menghimpunkan pemain golf, penaja, sukarelawan serta masyarakat dalam bersama-sama menyokong usaha kebajikan dan memberikan manfaat kepada mereka yang memerlukan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui, dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan kepada para pemain golf, penaja, sukarelawan dan penyokong atas sumbangan mereka dalam menjayakan satu lagi edisi kejohanan berkenaan.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun jumlah kutipan yang dicapai amat menggalakkan, kejayaan sebenar Baiduri Masters terletak kepada kemurahan hati orang ramai yang terus menyokong acara berkenaan dari tahun ke tahun.
Ti Eng Hui juga menegaskan semula komitmen kejohanan untuk menyalurkan 100 peratus yuran pendaftaran pemain golf secara terus kepada badan-badan kebajikan, satu amalan yang telah dilaksanakan sejak 2024.
Seramai 653 pemain golf telah mendaftar untuk menyertai kejohanan pada tahun ini. Hasil daripada yuran pendaftaran pemain golf berkenaan telah diagihkan secara sama rata kepada lima organisasi kebajikan, iaitu La Vida, SMARTER Brunei, Learning Ladders Society, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, dan An-Nur Harapan dengan setiap organisasi menerima sumbangan sebanyak BND15,000.
Dalam kejohanan berkenaan, Lim Beng Keat berjaya mempertahankan kejuaraan gelaran Baiduri Masters selepas mencatatkan skor cemerlang 66 pukulan pada pusingan penentuan kejuaraan.
Beliau menamatkan saingan di hadapan bekas juara, Awangku Mohd. Syakir Pengiran Alliyang mencatat 68 pukulan, empat di bawah par, manakala juara Baiduri Masters 2024, Muhd. Irwan Haji Abd. Hamid menduduki tempat ketiga dengan 69 pukulan.
Sementara Awangku Muhd. Zaidan Pengiran Haji Ahmad Zaki, pemain muda berusia 15 tahun yang meningkat daripada Kategori Junior untuk bersaing dalam Kategori Terbuka, mencuri tumpuan menerusi persembahan cemerlang apabila menduduki tempat keempat dengan catatan 71 pukulan, iaitu satu di bawah par.
Manakala bekas juara Baiduri Masters, Johari Ahmad, menyusuli di tempat kelima dengan catatan 72 pukulan, sementara Marcel Leong menduduki tempat keenam dengan 74 pukulan.
Melengkapkan senarai 12 terbaik ialah Haji Shahminan Haji Damit dengan 76 pukulan, diikuti Zulhilmi Haji Rosli, pemain berusia 14 tahun, Mohd. Harith Irfan Indera Putera, dan Bryan Chiew dengan 77 pukulan, diikuti Mahendra Phagami dengan 78 pukulan, serta Faiz Damit dengan 84 pukulan.
Prestasi Zaidan dan Harith menyerlahkan bakat golf muda Negara Brunei Darussalam (NBD) yang semakin berkembang, di samping memperlihatkan peluang yang disediakan oleh Baiduri Masters kepada para pemain muda untuk menguji kemampuan mereka menentang pesaing yang lebih berpengalaman.
Persaingan merebut kejuaraan Kategori Wanita turut menjadi tumpuan. Almas Syadzwanie Kamis melengkapkan pencapaian luar biasanya dengan merangkul gelaran Baiduri Masters Ladies buat kali ketiga berturut-turut.
Setelah pertama kali memenangi kejuaraan pada 2024 dan berjaya mempertahankannya pada 2025, Almas sekali lagi menunjukkan konsistensi dan ketenangan untuk kekal di tangga teratas, sekali gus menambah satu lagi pencapaian kepada rekod cemerlang dalam kejohanan berkenaan.
Kejohanan tahun ini turut memperkenalkan Kategori Ladies Longest Drive, yang menambah dimensi baharu kepada persaingan serta menggalakkan penyertaan yang lebih ramai dalam kalangan pemain golf wanita.
Kumar Purja Pun merangkul gelaran Men's Longest Drive, manakala Almas Syadzwanie Kamis pula muncul juara bagi inaugural Ladies' category, sekali gus melengkapkan persaingan sengit yang menguji ketepatan selain kekuatan pukulan.
Walaupun tiada pemain golf berjaya mencatatkan ‘hole-in-one’ untuk memenangi hadiah utama pada tahun ini, kejohanan berkenaan sekali lagi menawarkan antara hadiah yang paling menjadi rebutan dalam kalendar golf NBD. Hadiah yang ditawarkan termasuk BMW X3, Porsche Macan EV, MINI Cooper serta hadiah wang tunai BND20,000.
Bagaimanapun, beberapa pemain hampir memenangi hadiah berkenaan. Antaranya, satu pukulan hanya berjarak 5 sentimeter daripada Porsche Macan EV di Lubang 16. Percubaan hampir berjaya lain termasuk pukulan yang berjarak 74 sentimeter daripada hadiah wang tunai BND20,000; 50 sentimeter daripada MINI Cooper dan satu meter daripada BMW X3.
Baiduri Masters 2026 mendapat sokongan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku penyokong rasmi. QAF Auto Sdn. Bhd. dan QAF Prestige Sdn. Bhd. pula merupakan rakan acara kejohanan, dengan menyumbangkan BMW X3, MINI Cooper dan Porsche Macan EV yang ditawarkan sebagai hadiah ‘hole-in-one’ sepanjang kejohanan.
Sementara Borneo Bulletin dan Media Permata pula berperanan sebagai rakan media eksklusif, dengan menyediakan liputan sepanjang dua hujung minggu pertandingan.
Dengan berakhirnya saingan dan penyampaian trofi kepada para pemenang, Baiduri Masters sekali lagi membuktikan peranannya bukan sahaja sebagai medan pertandingan golf, malah sebagai platform untuk menggalakkan semangat kemasyarakatan dan menyokong usaha kebajikan.
Selama lebih tiga dekad, kejohanan berkenaan terus menghimpunkan masyarakat untuk bersaing, menyumbang dan memberi impak positif kepada kehidupan orang lain.