BDCB terbitkan BSI Jun 2026

7 Og 2026 - 6:46am

Siaran Akhbar dan Infografik : Brunei Darussalam Central Bank

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan ataupun Business Sentiment Index (BSI) Negara Brunei Darussalam bagi Jun 2026. Indeks ini adalah berdasarkan kaji selidik bulanan yang melibatkan kira-kira 500 perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana, dan besar dari 11 sektor ekonomi di seluruh negara.

BSI bertujuan untuk mengukur tahap sentiment / keyakinan perniagaan di Negara Brunei Darussalam yang merangkumi pelbagai aspek termasuk keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, pengambilan pekerja, dan kos menjalankan perniagaan. Memandangkan BSI menggunakan pendekatan berpandangan ke hadapan, indeks ini boleh digunakan sebagai salah satu penunjuk awal keadaan makroekonomi negara.

Sejak pelancarannya pada Ogos 2020, BDCB telah menyemak metodologi BSI bagi meningkatkan keteguhan, konsistensi dan nilai analisis indeks. Walaupun skala BSI adalah 0 hingga 100 di bawah metodologi sebelumnya, formula pengiraan yang digunakan hanya menghasilkan nilai indeks antara 49.0 dan 51.0. Di samping itu, daripada menetapkan tahap 50.0 sebagai neutral, nilai antara 45.0 hingga 55.0 kini ditakrifkan sebagai neutral. Perubahan ini seterusnya meningkatkan sensitiviti indeks, sekali gus membolehkan tafsiran yang lebih jelas dan tepat terhadap pergerakan indeks.

Pengemaskinian ini tidak menjejaskan penilaian ekonomi bagi hasil terdahulu, memandangkan sentimen asas yang diukur oleh indeks tersebut kekal tidak berubah. Bagi memastikan konsistensi dan kebolehbandingan, data BSI terdahulu telah dikira semula menggunakan metodologi baharu dan diterbitkan dalam Buletin Statistik yang terdapat di laman sesawang BDCB.

Keterangan indeks iaitu BSI nilai atas 55 ialah keadaan yang lebih baik / sentiment lebih optimistik berbanding dengan bulan sebelumnya; nilai BSI 45 – 55 iaitu keadaan lebih kurang sama berbanding dengan bulan sebelumnya dan bawah 45 ialah keadaan yang merosot / sentiment lebih pesimistik berbanding dengan bulan sebelumnya.

Indeks utama BSI, iaitu Sub-indeks Keadaan Perniagaan, berada pada tahap 46.3 pada Jun 2026 yang menunjukkan bahawa keadaan perniagaan secara keseluruhannya dijangka kekal seperti bulan sebelumnya. Walaupun kebanyakan perniagaan melaporkan keadaan operasi yang stabil, beberapa perniagaan berpandangan optimistik, disokong oleh peningkatan aktiviti projek, kontrak baharu, prestasi jualan yang bertambah baik, serta operasi yang kembali berjalan seperti biasa berikutan kelembapan aktiviti dan gangguan bekalan sebelum ini. Sebaliknya, perniagaan yang melaporkan sentimen pesimistik mengaitkannya dengan musim cuti persekolahan, yang menyumbang kepada pengurangan perbelanjaan domestik berikutan peningkatan perjalanan ke luar negara. Faktor lain yang turut dinyatakan termasuk aktiviti pasaran yang sederhana, sikap pengguna yang lebih berhemat dalam berbelanja, serta tekanan persaingan dan kos yang berterusan. Bagi sub-indeks satu bulan ke hadapan, sub-indeks keadaan perniagaan meningkat kepada 62.7, menunjukkan bahawa perniagaan secara umumnya menjangkakan keadaan akan bertambah baik pada Julai 2026. Prospek positif ini disokong oleh jangkaan peningkatan permintaan sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80 Tahun serta acara-acara berkaitan yang dijangka akan menggalakkan peningkatan perbelanjaan domestik. Selain itu, perniagaan turut menjangkakan projek baharu dan yang sedang berjalan, di samping penyambungan semula operasi sepenuhnya selepas kerja-kerja penyelenggaraan, untuk terus menyokong prestasi perniagaan.

Sub-indeks Pelaburan kekal menunjukkan sentimen optimistik, dengan tahap 71.3 bagi indeks semasa, 77.5 bagi satu bulan ke hadapan, dan 79.1 bagi tiga bulan ke hadapan. Prospek positif ini mencerminkan rancangan pelaburan yang berterusan, terutamanya bagi pengisian semula inventori, pembelian mesin dan peralatan, kerja-kerja pengubahsuaian serta pengembangan perniagaan, selain perbelanjaan modal yang berkaitan dengan projek. Beberapa perniagaan juga merancang untuk melabur dalam pembelian kenderaan baharu, penaiktarafan teknologi, serta pembangunan tenaga kerja bagi menyokong pertumbuhan perniagaan pada masa hadapan.

Sub-indeks Pekerjaan mencatatkan tahap 49.2 bagi bulan semasa dan 48.7 bagi bulan akan datang, menunjukkan sentimen yang stabil. Kebanyakan perniagaan melaporkan bahawa jumlah tenaga kerja sedia ada adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan operasi semasa, dengan aktiviti pengambilan pekerja tertumpu terutamanya kepada penggantian pekerja yang telah meletak jawatan, bersara, atau menamatkan kontrak. Walaupun terdapat perniagaan yang berhasrat untuk mengambil pekerja baharu, beberapa kekosongan jawatan masih belum dapat diisi berikutan proses pengambilan yang masih berjalan serta kesukaran mendapatkan calon yang bersesuaian, sekali gus menyumbang kepada prospek pekerjaan yang secara keseluruhannya kekal neutral.

Sub-indeks Kos Perniagaan berada pada tahap 35.8 bagi bulan semasa, yang menunjukkan bahawa perniagaan secara umumnya menjangkakan kos operasi perniagaan pada Jun 2026 adalah lebih rendah berbanding bulan sebelumnya. Penurunan kos ini sebahagian besarnya didorong oleh aktiviti perniagaan yang perlahan, penyelesaian kerja-kerja penyelenggaraan, perbelanjaan berkaitan projek yang ditanggung pada bulan-bulan sebelumnya, serta usaha berterusan untuk mengoptimumkan kos operasi. Bagi tempoh satu bulan akan datang, sub-indeks kos perniagaan meningkat kepada 55.7, menunjukkan bahawa perniagaan menjangkakan kos operasi akan meningkat sedikit pada Julai 2026. Jangkaan ini didorong oleh peningkatan aktiviti projek serta tekanan kos yang berterusan disebabkan kenaikan harga bahan mentah, caj penghantaran, dan kos logistik.

Keterangan lanjut nilai BSI dari segi sektor ekonomi dan saiz perniagaan boleh dirujuk dalam rajah.

Carta BSI dan sub-indeks sejak Ogos 2020 adalah seperti di Lampiran 1. Untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai BSI, orang ramai boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik di laman sesawang BDCB di ‘www.bdcb.gov.bn’. Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan BSI melalui siaran akhbar yang akan datang dan akaun Instagram BDCB ‘@centralbank.brunei’.