Bertindaklah secara agresif menjelang Wawasan Brunei 2035

12 Og 2026 - 7:18am

Oleh : Hezlinawati Haji Abdul Karim

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. –  Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, juga Ketua Kampung Subok menegaskan bahawa menjelang Wawasan Brunei 2035, negara perlu bertindak secara lebih agresif dengan memperkukuh ketahanan ekonomi, keselamatan dan kebajikan rakyat termasuk mempelbagaikan ekonomi melalui digitalisasi, teknologi hijau, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan Foreign Direct Investment (FDI) berkualiti serta peluang pekerjaan bernilai tinggi bagi memperkukuh keselamatan fizikal dan siber, keterjaminan makanan dan ketahanan iklim di samping membina sistem perlindungan sosial yang adil dan inklusif yang berasaskan ‘capacity building’ agar golongan memerlukan dapat berdikari.

Yang Berhomat menegaskan perkara tersebut ketika memberikan ucapan penangguhan pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Persidangan tahun ini ujar Yang Berhormat bukan sekadar rutin perundangan melainkan medan penentuan sebuah peralihan zaman.

Negara kini ujar Yang Berhormat lagi berada di garisan masa yang amat dekat, hanya berbaki sembilan tahun sahaja lagi sebelum melangkah masuk ke ambang Wawasan Brunei 2035. 

“Sebagai wakil suara rakyat yang dilantik, saya menegaskan bahawa masa untuk bereretorik dan berpuas hati dengan pencapaian lampau telah tamat. Perubahan menuju wawasan menuntut kita melakukan reformasi, pemikiran dan tindakan yang agresif, radikal, dan berpaksikan hasil nyata. 

“Kita wajib membina sebuah ekosistem negara yang kalis masa hadapan menerusi pengukuhan tiga fasa utama, iaitu ketahanan ekonomi, mengukuhkan keselamatan, dan kemampanan kebajikan rakyat,” jelas Yang Berhormat.

Di saat negara sedang memacu langkah akhir menuju Wawasan Brunei 2035 kata Yang Berhormat lagi, rakyat menaruh harapan yang menggunung tinggi melihat satu perubahan besar yang dinamik di bawah kepimpinan Ahli-ahli Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet sekalian.