BSRC Junior Open 2026 cungkil bakat muda badminton

25 Og 2026 - 7:08am

Berita dan Infografik : Ihsan Komiti Badminton Kelab Brunei Shell Recreational Club

 

KUALA BELAIT, Isnin, 24 Ogos. - Seksyen Badminton Kelab Brunei Shell Recreational (BSRC) akan menganjurkan Kejohanan BSRC Junior Open 2026 pada 26 dan 27 September 2026 sebagai platform untuk mencungkil dan membangunkan bakat-bakat muda, di samping memperkukuh pembangunan sukan badminton di Negara Brunei Darussalam.

Kejohanan anjuran Seksyen Badminton BSRC dengan sokongan Persatuan Kebangsaan Badminton Brunei Darussalam (PKBBD) itu akan mempertandingkan lapan kategori.

Kategori berkenaan ialah Perseorangan Lelaki Bawah 12 Tahun (U12), Beregu Lelaki Bawah 12 Tahun (U12), Perseorangan Perempuan Bawah 12 Tahun (U12), Beregu Perempuan Bawah 12 Tahun (U12), Perseorangan Lelaki Bawah 16 Tahun (U16), Beregu Lelaki Bawah 16 Tahun (U16), Perseorangan Perempuan Bawah 16 Tahun (U16) dan Beregu Perempuan Bawah 16 Tahun (U16).

Kejohanan tersebut bertujuan memberikan pendedahan pertandingan yang berkualiti kepada pemain-pemain muda, selain memupuk nilai kesukanan, disiplin, ketabahan dan amalan gaya hidup sihat.

Ia juga menjadi platform bagi mengenal pasti serta membangunkan pemain-pemain berbakat yang berpotensi untuk mewakili negara pada masa akan datang.

Selaras dengan tema ‘Melahirkan Juara Muda, Membina Masa Depan Badminton’, kejohanan berkenaan mencerminkan komitmen BSRC dalam menyokong pembangunan sukan badminton di peringkat akar umbi serta menyediakan peluang kepada generasi muda untuk menyerlahkan bakat masing-masing.

Ibu bapa, jurulatih, pihak sekolah, kelab-kelab badminton serta masyarakat umum dialu-alukan untuk memberikan sokongan dan menggalakkan penyertaan pemain-pemain muda dalam kejohanan tersebut.

Tarikh tutup pendaftaran ialah pada 15 September 2026, manakala pendaftaran bagi acara perseorangan dan beregu boleh dibuat melalui kod QR yang disediakan pada poster kejohanan.

Seksyen Badminton BSRC berharap kejohanan berkenaan akan mendapat sambutan dan penyertaan daripada pemain-pemain muda dari seluruh negara, sekali gus menyemarakkan semangat kesukanan dan persaingan sihat dalam kalangan generasi muda.