Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
BERAKAS, Isnin, 17 Ogos. - Menjulang segulung ijazah bukanlah semudah yang dibayangkan, sebaliknya ia memerlukan dedikasi, pengorbanan masa dan disiplin yang tinggi bagi mencapai kejayaan yang diidam-idamkan.
Demikian juga yang dirasakan oleh hampir kesemua graduan yang diraikan pada Majlis Hafl Al-Takharruj Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Ke-16 tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), pagi tadi.
Semasa ditemui Pelita Brunei, salah seorang graduan Doktor Falsafah Sains Halal (Pengurusan Halal), Dayang Siti Nazerah binti A. Hanni @ Zalanni antara lain menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana dikurniakan rezeki untuk menamatkan pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Sains Halal di UNISSA.
Berkongsi mengenai cabaran semasa melanjutkan pengajiannya di UNISSA, beliau menjelaskan bahawa dirinya juga pernah berdepan dengan beban kerja yang terlalu banyak dalam masa yang terhad yang membuatkannya berasa begitu tertekan sehingga menitiskan air mata akibat tertekan dengan hal berkenaan ditambah lagi dengan tarikh penyerahan tesis yang semakin hampir, dan beliau berasa seolah-olah tidak mampu menyiapkannya tepat pada waktunya.
“Dalam saat yang sukar itu, saya menangis di hadapan ibu bapa saya. Mereka memberikan sokongan yang tidak ternilai, penuh kasih sayang dan dorongan. Begitu juga dengan adik-beradik saya yang sentiasa memberi kata-kata semangat setelah mengetahui apa yang saya lalui.
“Pengalaman ini juga membuatkan saya benar-benar memahami betapa besar nilai sebuah keluarga, dan saya berasa sangat bersyukur kerana memiliki mereka di sisi ketika melalui saat paling sukar dalam hidup saya,” katanya lagi.
Dayang Siti Nazerah pada kesempatan yang sama turut mengambil peluang untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua-dua ibu bapanya, Awang Haji A. Hanni @ Zalanni bin Haji Abd. Hamid dan Pengiran Hajah Mastura binti Pengiran Haji Mohd. Yassin, yang sentiasa mendoakan, memberikan semangat dan sokongan tanpa henti.
Seterusnya, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penyelia utama dan pensyarahnya, Pengiran Dr. Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim, atas segala nasihat, tunjuk ajar, buah fikiran, serta dorongan yang berterusan.
Tidak dilupakan tambahnya lagi, adik-beradik, sahabat-sahabat, dan semua yang membantunya dalam menyiapkan penulisan tesis sehingga mencapai kejayaan pada hari ini dan seterusnya mendoakan semoga segala bantuan mereka menjadi amal jariah yang berpanjangan dan mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Sementara itu bagi seorang lagi graduan Sains Pertanian (Secara Penyelidikan) di Fakulti Pertanian, UNISSA, Dayangku Aniisah Khoirunnisaa’ binti Pengiran Haji Kamaluddin semasa ditemu bual turut menzahirkan rasa kesyukuran yang cukup mendalam atas kejayaan yang diperolehinya pada hari ini.
Beliau mengongsikan bahawa penglibatan keluarganya memainkan peranan yang cukup penting dalam meraih kejayaan pada hari ini dan sudah semestinya tidak dapat disangkalkan lagi.
“Antara pengalaman paling manis sepanjang pengajian ialah penglibatan ibu bapa dan adik-adik saya secara langsung dalam perjalanan penyelidikan saya. Sebahagian daripada penyelidikan saya dijalankan di rumah hijau di UNISSA, Kampus Sinaut memerlukan saya melakukan pemantauan dan penjagaan tanaman setiap hari dari bulan Februari hingga Mei 2025.
“Pada hujung minggu, ibu bapa saya sering menemani saya ke kampus untuk menyiram dan memantau tanaman, malah adik-adik saya juga pernah turut serta. Mereka juga pernah membantu saya dalam beberapa kegiatan penyelidikan seperti penyediaan tanah untuk kajian penanaman dan mengikuti sendiri perkembangan tanaman kangkung dan padi yang saya kaji.
“Dengan cara ini, mereka bukan sahaja menyokong saya dari jauh, tetapi turut melihat dan mempelajari sendiri sebahagian daripada proses penyelidikan yang saya jalankan,” ujarnya lagi.
Dayangku Aniisah Khoirunnisaa’ seterusnya mengongsikan pengalaman berkenaan menjadi antara memori manis yang sentiasa dikenang kerana penglibatan mereka merupakan satu bentuk sokongan dan penghargaan terhadap usaha serta cabaran yang dilaluinya sepanjang penyelidikan. Tambahan lagi ketika mengenang kembali detik-detik manis dirinya meniti perjalanan dalam menyelesaikan pengajiannya di UNISSA.
Apabila menyentuh mengenai perancangannya setelah menamatkan pengajiannya di UNISSA, Dayangku Aniisah Khoirunnisaa’ menjelaskan bahawa dirinya telah merancang untuk melibatkan diri secara lebih dekat dengan sektor pertanian bagi mendapatkan pendedahan dan pengalaman dalam situasi sebenar serta memahami realiti dan keperluan sektor pertanian.
Seterusnya, beliau merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Pertanian dan berharap pengalaman yang diperoleh daripada lapangan dapat membantu dirinya menentukan dan membentuk hala tuju penyelidikan yang bukan sahaja mempunyai nilai akademik, tetapi juga relevan dengan keperluan sebenar sektor pertanian.
Manakala bagi Dayang Mashitah Amirah binti Awang Mohamad pula yang merupakan graduan Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Kehakiman), UNISSA ketika ditemui antara lain merakamkan setinggi-tinggi penghargaan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerajaan baginda atas segala peluang, sokongan dan kemudahan pendidikan yang diberikan kepada dirinya.
Beliau turut menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan ditujukan kepada UNISSA yang telah menjadi sebuah wadah dalam menimba ilmu dan membentuk sahsiah, di samping memperkenalkan dirinya kepada para ilmuwan daripada pelbagai latar belakang yang banyak membantu menyumbang kepada pembinaan Khayra Ummah berlandaskan ilmu, nilai-nilai agama dan Maqasid Syariah.
Pada masa yang sama, Dayang Mashitah Amirah turut memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada mereka yang masih menuntut dan melanjutkan pengajian mereka ketika ini agar dapat meneruskan usaha mereka dalam mencari dan menimba ilmu walaupun perjalanan berkenaan tidak selalunya mudah.
“Ilmu Allah itu sangat luas, jadi selagi diberikan peluang, teruskanlah meneroka dan mendalaminya. Jangan jadikan teman seperjuangan sebagai saingan dalam menimba ilmu, sebaliknya jadikanlah mereka sebagai rakan untuk saling berkongsi, membantu dan sama-sama berkembang dalam perjalanan menuntut ilmu.
“Menimba ilmu bukanlah untuk menjadikan kita hebat, tetapi untuk menyingkap kejahilan dalam diri, memperbaiki kekurangan dan mendekatkan kita kepada kebenaran,” ujarnya lagi.