Forum keagamaan semarakkan Pentas Perayaan

7 Og 2026 - 8:45am

Oleh : Aimi SaniFoto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Bagi menyemarakkan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026, Pusat Da’wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengadakan Persembahan Pentas Perayaan Bercorak Keagamaan bertempat di Pentas Perayaan, kawasan letak kereta berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja, Bandar Seri Begawan, malam tadi.

Penglibatan PDI, KHEU dalam mengadakan persembahan pentas perayaan malam bercorak keagamaan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan jabatan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80.

Penganjuran persembahan ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada para pegawai dan kakitangan PDI menzahirkan rasa kasih dan taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di samping turut memeriahkan suasana sambutan perayaan.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap KHEU, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad dan isteri. Turut hadir ialah pengarah-pengarah jabatan dan para pegawai kanan di bawah KHEU.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Ahli Persatuan Nurul Islam, Awang Saifullah bin Haji Mohd. Sofian.

Acara kemudiannya, diteruskan dengan persembahan Selawat Tafrijiyah dan Asmaul Husna oleh Persatuan Nurul Islam. Majlis diikuti dengan Forum Keagamaan bertajuk ‘Perjalanan Mencari Kebenaran : Mengapa Saya Memilih Islam’ yang menampilkan Ahli-ahli Persatuan Nurul Islam iaitu Awang Haji Adnan bin Musim, Awang Mohammad Nasrul Budin bin Abdullah dan Awang Haji Mohd. Hazwan bin Abdullah sebagai ahli panel. Forum tersebut dipengerusikan oleh Pegawai Ugama PDI, Awang Mohammad Nasyith bin Superi.

Sepanjang forum berkenaan, para ahli panel telah berkongsi pengalaman masing-masing dalam menelusuri perjalanan mencari kebenaran sehingga dikurniakan hidayah untuk memeluk agama Islam.

Perkongsian tersebut menyentuh pengalaman hidup sebelum mengenali Islam, detik-detik yang membuka hati untuk menerima hidayah, cabaran yang dihadapi sepanjang proses memeluk agama Islam serta perubahan positif yang dirasai setelah menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.

Forum tersebut turut memberikan gambaran yang lebih mendalam mengenai proses mengenali Islam daripada perspektif para mualaf sendiri. Di samping menyemai rasa syukur atas nikmat iman, forum berkenaan turut memperkukuhkan semangat ukhuwah, meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kehidupan para mualaf serta mengetengahkan keindahan ajaran Islam yang berteraskan rahmat, kasih sayang dan hikmah.