Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
TUTONG, Isnin, 17 Ogos. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya meneruskan lagi Majlis Dikir Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di Masjid Kampung Penanjong, hari ini.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin. Majlis dimulakan dengan penyerahan sumbangan wakaf oleh tetamu khas majlis.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah. Seterusnya majlis diikuti bacaan wirid, doa dan Surah Al-Fatihah.
Majlis Dikir Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kemudiannya disusuli dengan Dikir Assalamualaika dan Dikir Syarafil Anam daripada kumpulan dikir masjid berkenaan.
Selesai menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, Dikir Marhaban dipersembahkan, disusuli dengan bacaan doa selepas Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebagai penutup majlis.
Majlis pada tahun ini dianjurkan bersama oleh Pejabat Wawasan Brunei, JPM selaku Pengerusi Majlis dengan dikendalikan bersama oleh Biro Mencegah Rasuah dan Jabatan Kehakiman Negara.