Kempen Kebersihan kukuhkan semangat kerjasama penduduk kampung

19 Og 2026 - 7:17am

Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi 

 

MUKIM MENTIRI, Selasa, 18 Ogos. - Semangat gotong-royong dan keprihatinan terhadap kebersihan alam sekitar terus diperkasa menerusi Kempen Kebersihan Kolaborasi Bersepadu Majlis Perundingan Kampung (MPK) yang buat julung kalinya diadakan dengan penglibatan MPK Kawasan 1, 2 dan 5, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panchor, Mukim Mentiri.

Hadir pada kempen berkenaan, Ketua Kampung Kawasan 2, Awang Haji Md. Eddie Hardey bin Awang Haji Ibrahim, Pemangku Ketua Kampung Kawasan 1, Awang Zulkhari bin Haji Junaidi dan Pemangku Ketua Kampung Kawasan 5, Awang Haji Hairul Azri bin Haji Salamat.

Kempen berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memastikan persekitaran kawasan berkenaan sentiasa bersih, sihat dan selamat, di samping memupuk budaya tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat.

Kerja-kerja kebersihan dimulakan di kawasan letak kereta Taman Bukit Riadah, RPN Panchor, sebelum diteruskan sepanjang Jalan Tanjung Selasih. Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk mengutip sampah serta memotong ranting dan dahan pokok yang menjalar dan menghalang laluan di bahu jalan raya.

Hasil usaha bersama itu, kira-kira 60 beg plastik sampah berjaya dikumpulkan sepanjang kempen berkenaan. Meskipun julung kali berkolaborasi namun kempen tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan yang dianggarkan kira-kira 70 orang, terdiri daripada penduduk dari Kawasan 1, 2 dan 5, ahli jawatankuasa Takmir Masjid An-Na'im serta golongan belia dan beliawanis.

Penglibatan pelbagai lapisan masyarakat itu jelas mencerminkan semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, selain memperkukuh hubungan silaturahim antara penduduk dan pemimpin akar umbi.

Kempen berkenaan bukan sahaja memberi manfaat dari segi kebersihan persekitaran, malah menjadi wadah untuk menyemai kesedaran bahawa kelestarian kawasan tempat tinggal merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan aktif seluruh masyarakat.

Penganjuran sedemikian itu diharap dapat menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada penduduk serta mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, selesa dan kondusif.