Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Mohammad Hasif Matzin
TEMBURONG, Isnin, 17 Ogos. - Rombongan Dikir Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) meneruskan lagi Ihya Maulidur Rasul bertempat di Masjid Kampung Belais, Daerah Temburong bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.
Mengetuai rombongan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Awang Haji Shamshol bin Haji Omar. Turut hadir, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan dari KHEU, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Belais, Daerah Temburong serta jemaah masjid berkenaan.
Majlis diserikan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian dan seterusnya dikir Maulud dimulakan.
Bagi memberkati majlis Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Belais, Temburong, Awang Mohd. Safwan bin Zulkifli.
Majlis Dikir Maulud selama 12 malam berturut-turut di masjid-masjid seluruh negara bertujuan mengingati pengorbanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menyebarkan syiar Islam sekali gus menanamkan rasa kasih dan cinta terhadap Baginda.
Di samping menjadi salah satu usaha memakmurkan masjid, ia juga sebagai wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai dan kakitangan KHEU bersama jemaah masjid serta penduduk kampung sekitarnya.
Antara kelebihan bagi orang yang berselawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ialah memperoleh rahmat dan pahala yang besar daripada Allah Subhanahu Wata’ala, mendapat kebaikan serta dihapuskan daripadanya dosa.
Amalan memperbanyakkan selawat juga menjadi sebab doa seseorang itu diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala, selain melepaskan diri daripada keresahan dan kesusahan pada Hari Kiamat. Rombongan Dikir Maulud KHEU seterusnya akan berkunjung ke Masjid Kampung Danau, Daerah Tutong pada Selasa, 18 Ogos 2026.