KHEU terus perkukuhkan pematuhan terhadap pensijilan halal

9 Og 2026 - 9:00am

Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji AliFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Mengenai pertanyaan ‘usaha kementerian menangani permintaan terhadap pensijilan halal yang terus meningkat’, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menyedari akan jumlah permintaan yang terus meningkat.

Bagi tempoh bulan Januari hingga bulan Julai 2026 sahaja, Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah menerima 1,004 permohonan sijil halal untuk restoran dan permit untuk kilang produk.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan mengongsikan perkara tersebut bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Zainal Abidin, berkaitan dengan pensijilan halal, pematuhan halal dan usaha memperkukuhkan budaya pematuhan dalam kalangan pengusaha.

Pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini, Yang Berhormat mengongsikan daripada jumlah itu, 614 permohonan diluluskan, 122 sedang diproses, 190 menunggu keputusan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), 23 diberikan pengecualian, dan 55 tidak dapat diluluskan kerana syarat yang ditetapkan belum dipenuhi.

“Bagi menangani peningkatan permohonan ini, Kementerian memperkemaskan semakan dokumen, pemeriksaan dan pemantauan, serta menyediakan panduan mengenai bahan dan ramuan yang telah disahkan halal yang bahkan boleh diakses dalam laman sesawang kementerian.

“Selain itu, bimbingan pra-permohonan turut diperkukuh supaya pengusaha mengemukakan dokumen yang lengkap dan memenuhi keperluan sejak awal. Langkah ini Alhamdulillah, membantu mengurangkan kelewatan yang boleh dikekalkan dalam proses pertimbangan,” jelas Yang Berhormat.

Berkaitan dengan itu juga, tambah Yang Berhormat, Jabatan Hal Ehwal Syariah telah memeterai Memorandum Persefahaman dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban pada 2 Februari 2023.

Melalui projek Rakan Penyelia Halal, 30 pelajar UNISSA menjalani latihan industri di pusat penyembelihan tempatan, kilang pemprosesan makanan dan restoran bersijil halal. Mereka dimanfaatkan bagi membantu dari aspek bimbingan dan pemantauan pematuhan keperluan pensijilan halal di premis yang ditetapkan terang Yang Berhormat.

“Graduan UNISSA dan individu yang mempunyai kepakaran berkaitan boleh berperanan memberikan khidmat nasihat, bimbingan dan latihan kepada pengusaha, tertakluk kepada kelayakan, kompetensi dan skop tugas yang ditetapkan. Peranan ini adalah pada peringkat persediaan permohonan dan tidak mengambil alih fungsi kawal selia.

“Walau bagaimanapun, pemeriksaan premis, pengawalseliaan proses penyembelihan, penguatkuasaan tetap terus dilaksanakan oleh pihak berkuasa yang ditetapkan. Keputusan akhir mengenai sijil halal dan permit halal pula kekal pada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), menurut perundangan yang berkuat kuasa,” ujar Yang Berhormat.

Kongsi Yang Berhormat lagi, mengenai program kesedaran untuk membina budaya pematuhan kendiri dalam kalangan pengusaha makanan dan minuman termasuk bukan Islam, di bawah Pelan Strategik KHEU 2025-2029, kementerian melaksanakan beberapa program utama.

Program tersebut ialah Program Pengukuhan Penyeliaan Halal bagi Penyelia Halal; Bengkel Pematuhan Halal bagi pengusaha restoran dan kilang pemprosesan makanan, termasuk pemilik Islam dan bukan Islam; dan Program Kesedaran Mengenai Halal bagi orang awam.

Pada tahun 2025 kata Yang Berhormat, seramai 2,194 peserta mengikuti program-program tersebut. Manakala sejak Januari 2026 hingga 30 Julai 2026 seramai 1,487 telah menyertai dan sasaran penyertaan sehingga Disember ialah 2,974 peserta, iaitu peningkatan sekitar 36 peratus.

Kementerian berpandangan bahawa budaya pematuhan kendiri dapat diperkukuhkan melalui pendekatan pendidikan, kesedaran dan kefahaman yang berterusan.

Sehubungan itu, Bengkel Pematuhan Halal akan terus diperluaskan dengan kerjasama UNISSA bagi meningkatkan kesiapsiagaan pengusaha dalam memenuhi keperluan pensijilan halal jelas Yang Berhormat.

“Mengenai ‘mekanisme penilaian bagi mengurangkan kes ketidakpatuhan secara berkesan’, Kementerian menilai pelaksanaan dan tahap pematuhan melalui beberapa indikator.

“Dua kelompok indikator yang digunakan pada masa ini ialah Indikator Pencegahan, yang merangkumi kadar liputan pemantauan dan penyertaan dalam program kesedaran serta latihan; dan Indikator Penguatkuasaan, yang merangkumi bilangan notis serta arahan pematuhan yang dikeluarkan dan jumlah kes yang disabitkan di mahkamah,” kongsi Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat lagi, dalam tempoh 2018 hingga Julai 2026, sebanyak lapan kes ketidakpatuhan serius telah disabitkan di mahkamah. Sebahagian besar kes dapat diselesaikan di peringkat notis dan arahan pematuhan tanpa perlu dibawa ke Mahkamah.

Sebagai contoh kongsi Yang Berhormat, sepanjang tahun 2025, sebanyak 720 notis amaran dan arahan pematuhan telah dikeluarkan dan 716 daripadanya dipatuhi tanpa memerlukan tindakan lanjut di mahkamah.

Manakala bagi tahun 2026 sehingga Julai, daripada 510 notis yang dikeluarkan, 509 telah dipatuhi oleh pengusaha tanpa perlu tindakan lanjut di mahkamah. Perlu diambil perhatian, jumlah notis amaran dikeluarkan adalah kepada restoran yang berlainan bukan kepada satu restoran sahaja.

“Kebanyakan kesalahan yang dikeluarkan notis ialah tidak memaklumkan penambahan bahan ramuan atau menu. Kesalahan yang dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan adalah kesalahan serius yang melibatkan penggunaan dari sumber atau kandungan bahan dari khinzir, alkohol dan daging diragui kehalalannya,” ujar Yang Berhormat.