Oleh : Marlinawaty HussinFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuhkan integriti, disiplin, keperibadian, profesionalisme dan kewibawaan institusi berkenaan selaras dengan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai berkata bahawa kod etika berkenaan bukan sekadar menetapkan peraturan mengenai perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan tetapi merupakan panduan dalam membentuk sikap, akhlak dan keperibadian Ahli-ahli MMN dalam melaksanakan amanah rakyat.
“Dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam, baginda telah menekankan bahawa integriti tidak boleh dibiar roboh kerana apabila integriti roboh, runtuh, ia boleh membawa kepada penyelewengan rasuah dan kepentingan peribadi.
“Baginda juga menekankan kepentingan kesaksamaan dan ketelusan dalam semua tindakan. Pada hemat kaola, penekanan baginda ini amat berkait rapat dengan penggubalan Kod Etika MMN kerana integriti bukan hanya diperlukan dalam pentadbiran kerajaan tetapi juga dalam setiap institusi yang membawa amanah rakyat," kata Yang Berhormat ketika membahaskan usul penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Sehubungan itu, tambah Yang Berhormat, Kod Etika dan Tatakelakuan berkenaan hendaklah menjadi mekanisme bagi memastikan setiap Ahli Yang Berhormat sentiasa mengutamakan amanah, kejujuran, ketelusan serta kepentingan rakyat dan negara, di samping mengelakkan konflik, kepentingan serta penyalahgunaan kedudukan.
Yang Berhormat turut melihat nilai calak kebruneian seperti adab, budi bahasa, kesopanan, kebijaksanaan, amanah, rasa hormat, kesetiaan serta tanggungjawab kepada bangsa, agama dan negara sebagai satu perkara yang wajar diketengahkan melalui Kod Etika tersebut.
Kata Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat perlu berani menyuarakan pandangan dengan beradab dan tegas dalam pendirian, namun tetap menghormati pandangan yang berbeza serta bersikap kritikal dalam perbahasan dengan berpandukan fakta, mengutamakan kepentingan rakyat dan negara; menjaga disiplin, dan integriti; serta mengelakkan konflik kepentingan.
Dalam pada itu, jelas Yang Berhormat, penggubalan Kod Etika tersebut juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan tadbir urus negara dan menyokong pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat berkata, sebuah institusi yang mempunyai akauntabiliti, ketelusan, disiplin dan integriti merupakan asas kepada kepercayaan rakyat serta usaha mencapai Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat turut mengingatkan, Ahli-ahli MMN bukan sahaja membawa nama diri sendiri ketika menghadiri persidangan, pertemuan atau platform di peringkat serantau dan antarabangsa, tetapi turut membawa nama Negara Brunei Darussalam, imej bangsa tempatan serta nilai-nilai MIB.
Oleh itu, kata Yang Berhormat, setiap tutur kata, tindakan dan tatakelakuan Ahli-ahli Yang Berhormat menjadi cermin kepada negara.
“Kaola percaya penghayatan Kod Etika ini akan membantu membentuk identiti MMN yang tersendiri, sebuah institusi yang bukan sahaja kukuh dari segi sistem dan tatakelola tetapi juga tinggi dari segi adab, integriti, kematangan dan profesionalisme.
“Kita mahu apabila orang melihat Ahli-ahli MMN Brunei Darussalam, mereka melihat gambaran sebuah negara yang berdaulat, aman, berbudaya, beradab, menjunjung nilai Islam dan menghormati institusi beraja.
“Pada hemat kaola, amanah yang diberi kepada Ahli-ahli MMN adalah satu amanah yang besar, kita bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyuarakan pandangan tetapi juga memastikan setiap pandangan itu berfakta, berhemah dan membawa manfaat kepada rakyat dan negara," ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat menegaskan, perbezaan pandangan juga tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya menjadi ruang untuk mencari penyelesaian terbaik secara matang dan komprehensif.
Mengakhiri perbahasan, Yang Berhormat menyatakan sokongan penuh terhadap penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli-ahli MMN sebagai langkah memperkukuhkan integriti, profesionalisme dan kewibawaan MMN, selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, falsafah MIB dan aspirasi Wawasan Brunei 2035.