Oleh : Khartini Hamir
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin, semasa membincangkan Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, turut menyentuh Perkara 12 mengenai Semakan dan Pindaan Kod Etika.
Yang Berhormat menyambut baik peruntukan supaya kod ini disemak secara berkala oleh MMN dan sebarang pindaan dibentangkan melalui usul. Semakan sedemikian penting supaya kandungan kod terus bersesuaian dengan keperluan dan perkembangan semasa.
Bagi memastikan proses ini dapat dilaksanakan secara teratur, Yang Berhormat mencadangkan supaya tempoh semakan dan pihak yang bertanggungjawab menyelarasnya dinyatakan dengan lebih jelas.
“Semakan berkala, misalnya, boleh dipertimbangkan dan dilaksanakan sekali setiap dua tahun,” terang Yang Berhormat.
Walau bagaimanapun kata Yang Berhormat, semakan lebih awal juga boleh dibuat sekiranya berlaku perubahan undang-undang, perkembangan teknologi atau timbul isu baharu yang memerlukan perhatian segera.
Pandangan ahli-ahli jelas Yang Berhormat lagi, juga wajar diambil kira berdasarkan pengalaman sebenar sepanjang melaksanakan kod ini.
Hasil setiap semakan hendaklah dibentangkan di dewan terang Yang Berhormat lagi, di mana sekiranya semakan tersebut melibatkan pindaan terhadap hak, tanggungjawab atau tatacara penguatkuasaan, pindaan berkenaan hendaklah dibahaskan sebelum dimuktamadkan.
Dengan adanya tempoh, tanggungjawab dan proses yang jelas ujar Yang Berhormat, keberkesanan kod dapat dinilai secara berterusan serta ditambah baik berdasarkan pengalaman pelaksanaannya.
Justeru Yang Berhormat menzahirkan harapan agar Kod Etika dan Tatakelakuan ini bukan sahaja diterima sebagai satu standard bertulis, tetapi benar-benar menjadi sebahagian daripada budaya kerja majlis yang berteraskan amanah, integriti, akauntabiliti dan kepentingan rakyat.
Dengan panduan yang jelas serta pelaksanaan yang adil dan konsisten terang Yang Berhormat lagi, mudah-mudahan kod ini dapat memperkukuhkan lagi kewibawaan MMN.
Oleh itu, Yang Berhormat menyokong konsep dan kerangka yang telah disediakan dan berharap agar cadangan-cadangan yang dikemukakan dapat dipertimbangkan sewajarnya.