Oleh : Hezlinawati Haji Abdul Karim
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin menekankan bahawa pencapaian Wawasan Brunei 2035 memerlukan pendekatan Whole of Nation yang melibatkan kerajaan, sektor swasta, pemimpin akar umbi dan rakyat, dengan penyelarasan serta pelaksanaan dasar yang cepat, teratur dan berkesan.
Dalam masa yang sama ujar Yang Berhormat lagi, proses kerajaan perlu dipermudah dan dikemas kini supaya lebih pantas, mesra rakyat dan mesra perniagaan.
Yang Berhormat menekankan perkara tersebut semasa memberikan ucapan dalam Usul Penangguhan pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Dalam ucapan itu, Yang Berhormat juga menyeru agar setiap perancangan dan strategi pembangunan dilaksanakan dengan berlandaskan nilai Melayu Islam Beraja, mengamalkan pemikiran ‘pro-business’ serta melibatkan sektor swasta dan rakyat bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi, menangani isu sosial dan sosioekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Yang Berhormat juga menyeru semua pihak agar sama-sama beringat dan sentiasa menanamkan dalam fikiran bahawa segala usaha yang dilaksanakan hendaklah disertai dengan keimanan, kesyukuran dan keyakinan bahawa rezeki itu datang daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
“Dengan pendekatan kerohanian yang berterusan, penuh keimanan serta sentiasa bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala atas segala nikmat keamanan, kestabilan dan kesejahteraan yang dinikmati oleh negara disertai pula dengan usaha yang gigih, jujur dan bersungguh-sungguh untuk mempertingkatkan tahap serta kemampanan ekonomi negara, insyaaAllah, kaola percaya dan penuh yakin bahawa isu-isu sosial, sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat ditangani akan dapat dan diselesaikan dengan jayanya,” ujar Yang Berhormat.
Sementara itu kepada para pegawai kanan yang telah dilantik baru-baru ini, Yang Berhormat berkata pelantikan tersebut adalah satu amanah dan tugas-tugas yang akan dilaksanakan nanti pastinya penuh dengan cabaran.
Oleh itu tambah Yang Berhormat lagi, usahalah dengan gigih, amanah dan berintegriti tinggi. Iringilah usaha-usaha tersebut dengan doa kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dan sentiasalah memohon petunjuk serta kejayaan daripada-Nya.
“Carilah mekanisme penyelarasan dengan secepat mungkin bagi memastikan keberkesanan perlaksanaan mengikut garis masa yang ditetapkan menuju ke tahun 2035 dan seterusnya. Apa jua perancangan, penggubalan strategi dan dasar yang berkaitan hendaklah mengambil kira pemikiran pro-bisnis di samping melibatkan sektor swasta dan rakyat secara bermakna,” ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat percaya bahawa dengan pemikiran sedemikian disertai pendekatan kerohanian dan sentiasa bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala, apa jua dasar yang digubal akan dapat menjurus kepada strategi yang bukan sahaja berkesan untuk pertumbuhan ekonomi negara tetapi juga memberikan impak yang tinggi terhadap kesejahteraan rakyat serta keharmonian negara yang berkekalan.