Oleh : Siti Rokiah Abdullah
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Siti Rokiah Abdullah
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 17 Ogos. - Acara keagamaan terus disemarakkan sempena memperingati Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah.
Istana Nurul Iman pada malam tadi diserikan dengan acara bercorak keagamaan melalui alunan Dikir Syarafil Anam yang berlangsung di Surau Istana Nurul Iman.
Acara berkenaan diadakan sebagai tanda kecintaan dan penghormatan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping menyemarakkan lagi suasana Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di Negara Brunei Darussalam.
Majlis tersebut turut menjadi wadah bagi meningkatkan rasa kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta menghayati perjuangan, akhlak dan ajaran Baginda untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Di ruangan lelaki yang diadakan di Surau Istana Nurul Iman, majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar beramai-ramai.
Acara kemudiannya diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan penyampaian tazkirah bertajuk ‘Menyemai Cinta Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam melalui Doa Membina Jiwa Tenang’ yang disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Awang Mohammad Nasyith bin Superi.
Pada malam kelima, alunan Dikir Assalamualaika dan Asyrakal dipersembahkan oleh rombongan daripada Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) yang diketuai oleh Setiausaha Tetap (Industri), KEPI, Awang Mohammad Haris bin Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim. Turut hadir menyemarakkan majlis, Timbalan Setiausaha Tetap (Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan), KEPI, Awang Haji Muhammad Yusree bin Haji Junaidi.
Manakala, Majlis Perundingan Kampung Kiudang membawakan Dikir Khairuman, sementara Ahli Jawatankuasa dan Kumpulan Belia Masjid An-Na’im, Kampung Panchor Mengkubau membawakan Dikir Bisyahrin. Selanjutnya, Dikir Al-Hamdu dan Badat dipersembahkan oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Sementara itu, bagi jemaah perempuan, majlis diadakan di ruang berasingan di Surau Istana Nurul Iman. Hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Datin Seri Paduka Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, selaku ketua rombongan bagi kementerian berkenaan.
Juga hadir, Setiausaha Tetap (Ekonomi dan Perdagangan), KEPI, Dr. Dayang Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin; Setiausaha Tetap (Penyelaras Dasar-Dasar Ekonomi), KEPI, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan Antarabangsa), KEPI, Dayangku Mazlizah binti Pengiran Haji Mahalee.
Majlis bagi jemaah perempuan turut dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Sayyidul Istighfar dan ayat-ayat suci Al-Quran.
Tazkirah dengan tajuk yang sama telah disampaikan oleh Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang, sebelum diteruskan dengan alunan Dikir Assalamualaika dan Asyrakal daripada Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Muslimah yang mewakili Masjid Omar ‘Ali Saifuddien seterusnya membawakan alunan Dikir Khairuman, diikuti Muslimah Masjid dan Kumpulan Belia Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kampung Katimahar yang mempersembahkan Dikir Bisyahrin. Acara keagamaan berkenaan kemudiannya diakhiri dengan persembahan Dikir Al-Hamdu dan Badat yang dibawakan oleh KUPU SB.
Pelaksanaan acara seumpama ini mencerminkan usaha berterusan dalam menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping memperkukuh kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta menghayati sunnah dan ajaran Baginda sebagai panduan dalam kehidupan.