Lawatan muhibah mempereratkan hubungan serumpun

17 Og 2026 - 7:03am

Berita dan Foto : Ihsan Abdul Khalid Hb

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 16 Ogos. - Seramai 30 penduduk Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba Gadong Kawasan 1 sehingga 6 telah mengadakan lawatan muhibah ke Masjid Setia Raja Mukah, Madrasah Al-Quran Mukah serta Surau Darussyakirin, Kampung Assyakirin, Bintulu pada 14 hingga 15 Ogos 2026.

Rombongan yang diketuai Awang Haji Osman bin Haji Abd. Rahman itu dialu-alukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Masjid / madrasah dan surau bersama beberapa ahli jawatankuasa tertinggi masjid, madrasah dan surau berkenaan.

Menurut ketua rombongan, lawatan berkenaan merupakan langkah strategik untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara penduduk dan ahli jawatankuasa tempat yang dilawati, khususnya sebagai jiran terdekat yang berkongsi hubungan serumpun.

“Melalui lawatan ini, hubungan silaturahim antara dua negara berjiran akan dapat diperkukuhkan selain memberi peluang kepada kedua-dua pihak berkongsi idea, bertukar pandangan dan mengeratkan ukhuwah sesama kita,” katanya berucap pada lawatan itu.

Pada majlis itu, rombongan turut menyampaikan sumbangan wang tunai serta barang-barang keperluan ke tempat yang dikunjungi.

Selain Masjid Setia Raja Mukah, rombongan turut mengadakan lawatan muhibah ke Madrasah Al-Quran Mukah.

Lawatan yang bermula selepas Solat Subuh bagi kedua masjid dan surau itu juga berkesempatan mengikuti Kuliah Subuh di Surau Darussyakirin, Bintulu.