Melahirkan penulis muda berbakat, berdaya cipta, berwawasan

11 Og 2026 - 7:52am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Ihsan Dewan Bahasa dan Pustaka

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah mengungkayahkan Program Penulis Muda 2026: Bengkel Penulisan Novel yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 12 Ogos 2026, di Balai Sarmayuda, DBP.

Bengkel tersebut dibimbing oleh Ruhaini Matdarin, penulis novel dari Sabah, Malaysia yang juga merupakan penerima Hadiah Sastera Sabah bagi sesi 2006/7, 2008/9, 2010/11, 2012/13 dan 2016/17 serta Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2017/18.

Majlis pembukaan bengkel telah diadakan pada pagi ini di Balai Sarmayuda dan disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dayang Emi Suryaney binti Haji Hipny selaku tetamu khas.

Program berkenaan antara lain bertujuan mendorong penulis muda menghasilkan karya sastera yang berkualiti, membimbing mereka berkarya secara bersistematik dan terarah melalui tunjuk ajar pakar sastera dan penulis mapan dari dalam dan luar negara, serta membentuk generasi pelapis yang mampu menghasilkan karya sastera secara berterusan.

Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Ketua Bahagian Sastera dan Majalah DBP, Dr. Haji Mohd. Ali bin Haji Radin selaku Pengerusi dan Pengasas Program Penulis Muda.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa program tersebut merupakan kesinambungan usaha murni DBP dalam melahirkan penulis muda yang berbakat, berdaya cipta dan berwawasan agar kesinambungan tradisi penulisan sastera tanah air terus terjamin dan segar dalam arus zaman yang sentiasa berubah.

Dr. Haji Mohd. Ali turut menegaskan bahawa Bengkel Penulisan Novel 2026 merupakan satu lagi fasa penting dalam usaha memperkasa bakat penulis muda melalui bimbingan penulis mapan dari Malaysia, iaitu Ruhaini Matdarin. Sebelum ini, peserta Program Penulis Muda bagi Bengkel Cerpen turut mendapat manfaat daripada bimbingan penulis terkenal, Nisa Harun, sekali gus membuktikan kesungguhan DBP memastikan peserta memperoleh pendedahan terbaik daripada penulis-penulis berpengalaman di peringkat serantau.

Beliau seterusnya menyeru para peserta yang terpilih supaya memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya melalui penghayatan ilmu secara mendalam, memberikan tumpuan penuh kepada bimbingan yang diberikan serta berani bertanya, mencuba dan memperbaiki karya masing-masing.

Dalam kesempatan itu, beliau turut mengemukakan beberapa saranan kepada para peserta, antaranya menjadikan disiplin menulis sebagai amalan harian kerana penulisan bukan sekadar bergantung kepada bakat, tetapi memerlukan latihan berterusan dan kesungguhan yang sebenar.

Dr. Haji Mohd. Ali juga menyarankan agar peserta memperbanyakkan pembacaan karya-karya besar dunia dan karya tempatan kerana seorang penulis yang baik lahir daripada seorang pembaca yang tekun, di samping berani bereksperimen dengan bentuk, bahasa dan idea bagi mencipta suara penulisan yang unik dan autentik.

Selain itu, beliau menggalakkan peserta membina jaringan sesama penulis di dalam dan luar negara melalui dialog, pertemuan dan perkongsian pengalaman.

Sebagai inspirasi kepada para peserta, Dr. Haji Mohd. Ali mencontohkan tokoh sastera dunia seperti Mary Shelley yang menghasilkan novel agung 'Frankenstein' ketika berusia sekitar 19 tahun, serta F. Scott Fitzgerald yang menulis 'The Great Gatsby' pada usia awal 30-an. Menurut beliau, contoh tersebut membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk menghasilkan karya besar dan berpengaruh.

Dalam ucapan yang sama, beliau turut menzahirkan harapan agar bengkel tersebut bukan sekadar menjadi medan latihan, tetapi menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi baharu penulis Brunei yang berwibawa, berjiwa bangsa dan mampu mengangkat kesusasteraan negara ke peringkat serantau dan antarabangsa.

Program Penulis Muda merupakan projek bimbingan dan peremajaan bakat sastera yang mengangkat moto 'Tulis, Gugah Minda, Ubah Dunia', dengan sasaran penyertaan golongan muda berumur antara 15 hingga 35 tahun.

Sejak mula dianjurkan pada tahun 2019 hingga 2025, program tersebut telah berjaya membimbing 224 penulis muda menerusi tujuh kali pelaksanaan. Melalui pelbagai genre bengkel penulisan kreatif yang diungkayahkan, peserta berpeluang mendalami teknik penulisan kreatif, memperkukuh kemahiran berkarya dan menerima bimbingan secara langsung daripada pembimbing berpengalaman.

DBP akan terus komited memperkasa perkembangan bahasa, sastera dan budaya bangsa melalui pelbagai program dan kegiatan yang bermanfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada pemartabatan bahasa dan sastera Melayu di Negara Brunei Darussalam.