Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menganjurkan Bengkel Demonstrasi dan Membaca Tulisan Jawi serta Pertandingan Tulisan Jawi bertempat di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Program yang diadakan bersempena Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan minat masyarakat terhadap tulisan Jawi sebagai salah satu khazanah ilmu dan warisan penting dalam perkembangan agama, bahasa serta kebudayaan Melayu Islam.
Pada sebelah pagi, Bengkel Demonstrasi dan Membaca Tulisan Jawi telah dikendalikan oleh Pegawai Bahasa, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka Awang Raieham bin Mohd. Salleh.
Sepanjang bengkel tersebut, para peserta diberikan penerangan dan demonstrasi mengenai kaedah penulisan Jawi yang betul, bentuk serta penyambungan huruf, di samping latihan membaca dan menulis perkataan serta ayat dalam tulisan Jawi. Para peserta turut berpeluang mendapatkan bimbingan secara langsung daripada para fasilitator.
Pada sebelah petang, acara diteruskan dengan Pertandingan Tulisan Jawi yang menyaksikan penyertaan para peserta dalam dua kategori.
Bagi Kategori ‘A’, tempat pertama dimenangi oleh Dayang Lididaya Batrisyia binti Ade Mas Roney, diikuti Awang Muhammad Zaidulady bin Abdullah Ismady di tempat kedua dan Dayangku Nur Adlina Batrisyia binti Pengiran Shahri di tempat ketiga.
Sementara itu, bagi Kategori ‘B’, Awang Muhammad Khairul Aiman Akmal @ Yussof Almahdi bin Haji Rusli muncul sebagai johan, manakala Awang Haji Mohammad Hafizuddin bin Mohammad Saldin meraih tempat kedua dan Dayang Nureen binti Mohd. Sallih di tempat ketiga.
Pertandingan tersebut menjadi medan kepada para peserta untuk mengetengahkan kebolehan serta ketelitian dalam menghasilkan tulisan Jawi yang kemas, tepat dan menarik. Pada masa yang sama, aktiviti berkenaan dapat menggalakkan generasi muda untuk terus mempelajari, menggunakan dan memartabatkan tulisan Jawi dalam kehidupan seharian.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UNISSA dalam memelihara dan memperkasa tulisan Jawi sebagai sebahagian daripada identiti Melayu Islam Beraja serta khazanah keilmuan yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang. Usaha tersebut juga selaras dengan tema Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16, “Meneroka Khazanah Ilmu Pencetus Generasi Khayra Ummah”.