Memastikan amanah, tanggungjawab selaras dengan nilai negara Islam

9 Og 2026 - 7:22am

Oleh : Nur Amalia Alisha Daud

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Sebagai sebuah negara yang berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), setiap institusi dan individu yang diberikan amanah, mempunyai tanggungjawab untuk memastikan nilai-nilai Islam bukan hanya dizahirkan melalui dasar dan peraturan tetapi turut diterjemahkan melalui akhlak, adab, kejujuran, keadilan, amanah dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas.

Dalam konteks Majlis Mesyuarat Negara (MMN), perkara ini amat penting kerana Yang Berhormat Ahli-ahli MMN mempunyai kedudukan yang besar dalam membawa suara rakyat, membincangkan dasar dan menyumbang pandangan terhadap pembangunan negara.

Maka, amanah tersebut hendaklah dilaksanakan dengan penuh hikmah, kesederhanaan dan rasa tanggungjawab, supaya setiap perbahasan dan perbezaan pandangan tidak menjejaskan keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.

Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat menekankan perkara tersebut ketika membahaskan Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

“Islam sendiri mengajar kita supaya berlaku adil, berkata benar, menjaga amanah, menghormati sesama manusia. Nilai murni ini pada hemat kaola, amat relevan dalam membentuk etika dan keperibadian Ahli MMN.”

“Dalam hal ini, kaola teringat akan beberapa titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sering menekankan kepentingan calak Brunei sebagai identiti dan jati diri kita, yang antaranya tercermin melalui sifat beradat, bersopan santun, menghormati orang lain dan juga tutur kata dan memelihara keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat,” jelas Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat, calak Brunei ini sangat dekat dengan tuntutan Islam, bukan sahaja menuntut kita melakukan perkara yang benar, tetapi turut mengajar kita supaya, menyampaikan kebenaran itu dengan cara yang baik, beradab dan berhemah.

Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah An-Nahl ayat 125: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang paling baik”. Ayat ini memberikan satu penemuan yang jelas, bahawa perbezaan pandangan tidak boleh memisahkan kita daripada adab dan hikmah.

Jelas Yang Berhormat, kita boleh mempunyai pandangan yang berbeza, tetapi perbezaan tersebut hendaklah disampaikan dengan adab dan hikmah.

Tegas Yang Berhormat lagi, kita boleh mengkritik satu dasar, tetapi kritikan hendaklah bertujuan memperbaiki, bukan menjatuhkan dan kita boleh menegur kelemahan, tetapi teguran hendaklah berlandaskan fakta, kejujuran dan niat untuk membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

“Begitu juga, Allah Subhanahu Wata’ala mengingatkan kita dalam Surah Al-Hujarat ayat 11 supaya “Jangan sesuatu kaum, memperolok-olokkan kaum yang lain kerana, boleh jadi mereka yang diperolokkan itu lebih baik daripada mereka”. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan kehormatan, maruah dan hubungan sesama manusia termasuk ketika berlaku perbezaan pandangan”.

“Malah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga mengingatkan bahawa seorang muslim ialah orang yang lain selamat daripada gangguan lidah dan tangannya. Maka pada hemat kaola, prinsip ini amat wajar diserapkan dalam tatakelakuan Ahli-ahli Yang Berhormat bahawa kebebasan bersuara hendaklah disertai dengan tanggungjawab, menjaga tutur kata, maruah institusi dan keharmonian masyarakat. Inilah nilai yang kaola percaya dapat menyumbangkan kepada pebentukan sebuah budaya perbahasan yang sihat, matang dan harmoni,” tegas Yang Berhormat lagi.

Kod Etika dan Tatakelakuan jelas Yang Berhormat dapat membantu memastikan bahawa kebebasan bersuara dan hak untuk berbahas sentiasa diseimbangkan dengan tanggungjawab menjaga keharmonian, perpaduan dan kestabilan negara.

Tegas Yang Berhormat, kita tidak mahu perbezaan pandangan menjadi punca perpecahan sebaliknya, kita mahu perbezaan pandangan menjadi sumber kepada perbincangan yang lebih matang dan menghasilkan penyelesaian yang lebih baik.

Sebagai sebuah negara Islam yang berharmoni tekan Yang Berhormat, kita juga mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan kepada generasi muda bahawa perbezaan pendapat bukan alasan untuk menghilangkan rasa hormat dan ketegasan dalam pendirian,tidak semestinya mengorban adab dan kesopanan.

“Apa yang kita tunjukkan di dalam dewan hendaklah menjadi teladan kepada mesyarakat dan generasi muda. Justeru, Kod Etika dan Tatakelakuan ini bukan sekadar mekanisme kelakuan tetapi instrumen pembentukan budaya, nilai dan keperibadian. Ahli-ahli Yang Berhormat, agar institusi MMN terus berlandaskan adab, integriti, khususnya keharmonian serta nilai-nilai Islam dan falsafah MIB.”

“Yang Berhormat Yang Di-Pertua, akhirnya matlamat kita bukan sekadar untuk mempunyai sebuah institusi yang berfungsi tetapi sebuah institusi yang mempunyai jiwa, nilai dan keperibadian. Sebuah institusi yang apabila dilihat oleh rakyat, mereka merasakan adanya keyakinan dan kepercayaan.”

“Sebuah institusi yang apabila dilihat oleh generasi muda, mereka mendapat contoh tentang amanah, adab dan tanggungjawab dan sebuah institusi yang apabila dilihat oleh masyarakat antarabangsa, mereka dapat melihat wajah NBD sebagai sebuah negara Islam yang aman, harmoni, berbudaya, berintegriti dan menjunjung nilai-nilai kemanusian serta kesejahteraan bersama,” kata Yang Berhormat.

Terdahulu, Yang Berhormat menjunjung kasih Kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas perkenan baginda terhadap penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi Ahli-ahli MMN.

Yang Berhormat menyatakan perkenan baginda ini sebagai satu langkah yang sangat baik dan bermakna dalam memperkukuhkan amanah, integriti, keperibadian, disiplin dan tatakelakuan Ahli-ahli Yang Berhormat selaras dengan nilai-nilai Islam dan falsafah MIB yang jadi landasan kehidupan bernegara.

Yang Berhormat juga menyambut baik usul ini dan melihat penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan perlu dilihat dalam konteks tuntutan dan tanggungjawab kita sebagai sebuah negara Islam yang menjunjung keharmonian, keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Yang Berhormat menyifatkan Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi Ahli-ahli MMN ini sebagai satu langkah yang amat baik dalam memastikan amanah, tanggungjawab dan keperibadian Ahli-ahli Yang Berhormat selaras dengan nilai negara Islam yang harmoni berteraskan adab dan akhlak serta mencerminkan calak Brunei yang kita banggakan.

Dengan adanya kod etika ini, Yang Berhormat berharap ia bukan saja menjadi garis panduan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan tetapi menjadi cermin kepada keperibadian, amanah, maruah setiap Ahli Yang Berhormat serta terus memperkukuhkan kewibawaan institusi MMN.

Dalam perkara tersebut, Yang Berhormat juga ingin menjadikan kesinambungan terhadap pindaan telah dicadangkan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin iaitu supaya diberikan tempoh selama enam bulan bagi jawatankuasa yang berkenaan untuk meneliti dan memperhalusi lagi Kod Etika dan Tatakelakuan ini sebelumnya dipakai ataupun dikuat kuasa secara rasmi.