Oleh : Khartini Hamir
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu pada Perbahasan Usul bagi draf Kod Etika dan Tatakelakuan dan terhadap pindaan yang telah pun dikemukakan pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, memberikan beberapa pandangan.
Terlebih dahulu Yang Berhormat ingin merakamkan sokongan padu terhadap Usul yang telah dibawakan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Selain turut merakamkan sokongan pindaan yang baharu saja yang dikemukakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin bagi merujuk draf Kod Etika dan Tatakelakuan ini kepada satu jawatankuasa untuk perkara ini diteliti dan diperhalusi dengan lebih mendalam dalam tempoh enam bulan.
Yang Berhormat ingin menegaskan bahawa sokongan Yang Berhormat terhadap pindaan ini sepertimana yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa sebentar tadi sama sekali tidak bermakna berkurangnya sokongan Yang Berhormat terhadap prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Kod Etika dan Tatakelakuan ini.
Sebaliknya jelas Yang Berhormat, pindaan yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa itu merupakan suatu langkah wajar bagi memastikan Kod Etika ini digubal dengan lebih menyeluruh, mantap dan praktikal menerusi penelitian lanjut oleh Jawatankuasa yang dicadangkan.
“Pindaan ini pada pandangan kaola amat selaras dengan saranan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll sendiri dalam ucapannya pada Khamis yang lepas, di mana Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi turut berpandangan bahawa agar sentiasa wujud ruang untuk memperhalusi lagi draf Kod Etika dan Tatakelakuan ini agar ianya dapat diperkukuhkan lagi dari semasa ke semasa menerusi pengalaman praktikal serta input Ahli-ahli Yang Berhormat sendiri,” ujar Yang Berhormat lagi.
Justeru, pindaan ini pada hemat Yang Berhormat adalah realisasi tepat pada saranan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll, dan Yang Berhormat juga ingin mengetengahkan hujah Yang Berhormat Menteri Pembangunan sebentar tadi, bahawa Peruntukan-peruntukan Tatakelakuan dan Kerahsiaan di dalam Kod Etika dan Tatakelakuan ini tidak bertujuan untuk menyekat hak kebebasan bersuara Ahli-ahli Yang Berhormat, malah adalah amalan lazim Badan-badan Perundangan di serata dunia.
“Kaola turut bersetuju bahawa setiap Ahli MMN wajar berperanan sebagai contoh terbaik dalam memupuk budaya perbahasan yang matang, beradab dan berhemah selaras dengan permahaman falsafah Melayu Islam Beraja sebagaimana yang telah disarankan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan,” terang Yang Berhormat.
Proses penelitian oleh jawatankuasa yang dicadangkan ini ujar Yang Berhormat lagi, adalah kesempatan yang baik untuk terus memantapkan lagi keseimbangan antara tatatertib dewan dan hak kebebasan bersuara Ahli-ahli Yang Berhormat.