Memastikan produk, pengalaman ditawarkan mempunyai keunikan, identiti tersendiri

20 Og 2026 - 9:02am

Oleh : Nurdiyanah Rajami

Foto : Nurdiyanah Rajami, Ihsan Jabatan Kemajuan Pelancongan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 19 Ogos. – Sokongan dasar Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) terhadap daya usaha komuniti, sama ada dalam bentuk perkhidmatan tempatan, aktiviti kebudayaan, mahupun inisiatif Satu Kampung Satu Produk (1K1P), adalah berteraskan usaha memperkukuh ketahanan sosioekonomi kampung. Pada asasnya, produk 1K1P dan pelbagai aktiviti tempatan merupakan hasil penawaran, ikhtiar ekonomi serta kreativiti yang lahir daripada inisaitif masyarakat di peringkat mukim dan kampung.

Namun demikian, untuk mentransformasikan aktiviti berkenaan menjadi produk dan pengalaman pelancongan yang berdaya saing dan bernilai tambah, komuniti perlu diperkasa dengan keupayaan yang bersesuaian, khususnya daripada aspek pengurusan, kepimpinan, penyampaian perkhidmatan serta jaminan konsistensi kualiti. Perkara berkenaan penting bagi memastikan produk dan pengalaman yang ditawarkan bukan saja mempunyai keunikan dan identiti tersendiri, tetapi juga mampu memenuhi jangkaan pengunjung secara konsisten dan berterusan.

Perkara berkenaan antara yang diutarakan oleh Setiausaha Tetap (Kesejahteraan Masyarakat), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut ketika menyampaikan ucaptama semasa berlangsungnya Bengkel Pelancongan Berasaskan Komuniti (Community-Based Tourism - CBT) anjuran Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) bagi hari pertama pagi tadi, bertempat di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).

Terdahulu, beliau antaranya menekankan sebagai sebuah kementerian yang antara lainnya bertanggungjawab terhadap pentadbiran daerah dan kesejahteraan masyarakat, peranan KHEDN adalah berteraskan usaha memperkukuh institusi Majlis Perundingan Mukim (MPM) dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) sebagai wadah penggerak kepada pembangunan komuniti.

Melalui jabatan-jabatan daerah tambahnya, KHEDN berperanan dalam memastikan setiap pengurusan dan pengendalian aktiviti serta perusahaan komuniti dilaksanakan secara cekap, teratur, dan selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa, di samping menggalakkan pendekatan pengurusan yang berdaya tahan dan mampan.

Dalam pada itu, Awang Salminan juga mengongsikan menerusi rangkaian 39 buah mukim dan lebih 217 MPK di keempat-empat daerah, jelas menunjukkan adanya kepelbagaian potensi yang terdapat di peringkat komuniti. Potensi berkenaan merangkumi aktiviti rekreasi berasaskan alam semula jadi, demonstrasi seni budaya dan kraf warisan, kulinari dan makanan tradisi, seni pertukangan serta pelbagai lagi pengalaman yang berakar umbi daripada identiti dan keunikan setiap mukim dan kampung.

Tambahnya lagi, kejayaan inisiatif 1K1P di bawah kawal selia KHEDN, pada misalnya, juga membuktikan bahawa potensi berkenaan mampu diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi yang bernilai. Dengan seramai 160 usahawan MPM dan MPK mencatatkan nilai jualan melebihi dua juta Dollar dari 2025 hingga pertengahan tahun ini, pencapaian berkenaan jelas menunjukkan bahawa komuniti mempunyai asas dan landasan ekonomi yang kukuh untuk melangkah ke fasa seterusnya.

“Walau bagaimanapun, usaha membentuk dan membangunkan perusahaan CBT perlu berjalan seiring dengan kesiapsiagaan organisasi dan keupayaan pengurusan komuniti yang berkesan.

“Pada masa yang sama, komuniti juga perlu memberikan perhatian kepada pembangunan kepimpinan serta penyediaan pelapis daripada generasi baharu. Aspek ini amat penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan, pengetahuan, kemahiran dan perusahaan yang telah dibangunkan dapat dipertahankan dalam jangka panjang,” ujarnya lagi.

Awang Salminan turut berkata dalam usaha memperkembangkan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti, masih terdapat pelbagai cabaran yang perlu diatasi. Antaranya termasuklah mengadakan modal kewangan untuk pembangunan perusahaan CBT, keterbatasan kemahiran dalam hospitaliti dan pengurusan kewangan, pematuhan peraturan, keselamatan dan kesejahteraan awam serta prasarana asas yang tidak memadai yang boleh menjejaskan keselesaan para pelancong. Selain itu, isu kepimpinan, tadbir urus dan struktur organisasi komuniti yang tidak stabil juga menjadi penghalang perlaksanaan CBT yang berkesan.

Walau bagaimanapun jelasnya lagi, peluang dalam sektor CBT di Negara Brunei Darussalam (NBD) adalah amat luas. Antara peluang utama yang perlu diterokai dan dimanfaatkan oleh komuniti kampung termasuklah penglibatan aktif golongan belia; transformasi ke arah perusahaan sosial atau Social Enterprise; pendigitalan dan peluasan pemasaran.

Dalam konteks berkenaan kata Awang Salminan lagi, penglibatan para akademik dalam bengkel ini amat dialu-alukan. Institusi pendidikan tinggi boleh berperanan sebagai rakan strategik dasar dalam memperkukuh ekosistem CBT melalui penyelidikan dasar berasaskan bukti; pengumpulan analisis dan perkongsian data serta maklumat berkaitan aktiviti CBT; pendokumentasian dan penerbitan hasil, pengalaman serta amalan terbaik perusahan CBT di NBD; dan penyediaan input berasaskan kajian, kepakaran dan analisis dalam menyokong perancangan, pembuatan keputusan serta pengubalan dasar.

“Kerjasama ini penting supaya pembangunan CBT tidak hanya didorong oleh aspirasi dan idea yang baik, tetapi turut disokong oleh data, pengetahuan dan bukti yang dapat membantu kita membuat keputusan yang lebih tepat dan berkesan,” tambahnya.

Awang Salminan menaruh harapan agar para peserta bengkel akan memberikan tumpuan dan komitmen sepenuhnya supaya setiap perbincangan, perkongsian pengalaman dan dapatan bengkel berkenaan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang nyata, praktikal dan berimpak tinggi.

“Marilah kita bersama-sama memainkan peranan yang aktif dalam mengenal pasti potensi, menangani cabaran dan membina keupayaan komuniti agar setiap inisiatif yang dibangunkan mempunyai asas tadbir urus yang kukuh, model ekonomi yang berdaya tahan serta manfaat yang jelas kepada masyarakat.

“Yang lebih penting, saya berharap agar bengkel ini dapat menghasilkan satu pelan tindakan yang konkrit, praktikal dan boleh dilaksanakan dengan peranan dan tanggungjawab yang jelas kepada setiap pihak berkepentingan,” ujarnya lagi.