Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
MUKIM MENTIRI, Khamis, 26 November. - Majlis Khatam Al-Quran sempena Penutup Kelas Dewasa dan Muslimah 1448 Hijrah / 2026 Masihi bagi Masjid An-Na'im, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, Mengkubau menjadi wadah menghargai kesungguhan para peserta dalam mendalami pembelajaran Al-Quran dan Iqra, sekali gus menyemarakkan kecintaan terhadap kitab suci dalam kalangan masyarakat.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ketua Kampung Kawasan 2, RPN Kampung Panchor Mengkubau, Awang Haji Mohammad Eddie Hardey bin Haji Ibrahim.
Seramai 75 peserta terdiri daripada 33 lelaki dan 42 perempuan, sebagai tanda pencapaian serta penghargaan atas komitmen mereka mengikuti kelas pembelajaran yang diadakan.
Pengisian majlis dimulakan dengan bacaan surah-surah lazim secara beramai-ramai yang diketuai oleh Bilal masjid berkenaan, Awang Mohammad Syafiq bin Mohammad Suhardi, manakala bacaan Doa Khatam oleh pelapis Bilal Masjid, Mohammad Faris Aminuddin bin Othman.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Kedatangan Pelajar Terbaik Muslimah bagi Kelas Iqra dan Al-Quran 1448H/2026M, yang disampaikan oleh Guru Kelas Muslimah Masjid, Dayang Noraziera binti Haji Ismail, sebagai pengiktirafan terhadap ketekunan dan disiplin para peserta sepanjang mengikuti kelas berkenaan.
Majlis diakhiri dengan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Imam masjid tersebut, Awang Suhif @ Syu'aib bin Haji Abdullah.
Penganjuran majlis berkenaan diharap akan terus menjadi pemangkin kepada usaha memperluas pembelajaran Al-Quran dalam kalangan masyarakat dewasa, di samping membentuk individu yang bukan sahaja fasih membaca, malah menghayati dan mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.