Membudayakan amalan membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian

27 Nov 2026 - 6:53am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 November. – Program Satu Minggu Satu Juzuk (1M1J) yang diperkenalkan di persekolahan ugama sejak 2016 merupakan antara inisiatif berterusan Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memantapkan penguasaan bacaan Al-Quran dalam kalangan murid, di samping membudayakan pembacaan Al-Quran sebagai amalan harian.

Usaha tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan JPI dalam menyokong hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan generasi yang celik Al-Quran.

Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam mengungkayahkan Majlis Khatam Al-Quran Program 1M1J bagi meraikan seramai 74 murid sekolah berkenaan yang telah berjaya menyempurnakan bacaan 30 juzuk Al-Quran.

Majlis diadakan di dewan serbaguna sekolah tersebut.

Hadir selaku tetamu khas majlis, Pegawai Pengajian Islam Daerah Bagi Kawasan Brunei III, Bahagian Sekolah Ugama, JPI, KHEU, Awang Muhammad Fauzi bin Haji Zaini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai dipimpin oleh tetamu khas majlis, diikuti bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam.

Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Adam Ukaasya Al-Hamidi bin Mohammad Ali.

Seramai 74 murid yang terdiri daripada 40 murid lelaki dan 34 murid perempuan menerima sijil khatam yang disampaikan oleh tetamu khas majlis, dengan iringan Dikir Marhaban yang dipersembahkan oleh guru-guru lelaki sekolah berkenaan, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Haji Mohd. Rafie bin Haji Abdullah, tenaga pengajar sekolah tersebut.