Oleh : Norliah Md. Zain
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Tujuan utama Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ialah sebagai panduan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat mengenai nilai, etika, tatakelakuan dan peraturan bagi memperkukuh budaya integriti profesionalisme dan tadbir urus beretika dalam semua urusan Ahli MMN.
Kod etika yang dicadangkan merangkumi etika dan tatakelakuan bukan sahaja sewaktu Persidangan MMN tetapi juga bagi muzakarah, sesi dialog, lawatan kerja dan perjumpaan serta bukan sahaja dari segi penyampaian maklumat, pertuturan tetapi juga dari segi pakaian.
Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman berkata demikian ketika membincangkan dan menyokong Penggubalan Dokumen Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat melihat semua ini adalah sebagai satu usaha pihak MMN untuk memelihara imej Ahli MMN sebagai wakil rakyat yang boleh dipercayai untuk mewakili kepentingan rakyat bukan untuk kepentingan peribadi ataupun kepentingan satu golongan tertentu.
Dengan adanya kod ini kata Yang Berhormat, orang ramai merasa yakin bahawa setiap Ahli MMN adalah dikawal oleh Kod Etika dan Tatakelakuan dan setiap interaksi dengan orang ramai berlaku secara terbuka tanpa sebarang muslihat dan setiap isu yang diketengahkan akan didengar dan dibincangkan, dibawa ke pihak-pihak yang berkenaan bagi mencari penyelesaiannya.
Pada masa yang sama jelas Yang Berhormat, pihak awam akan menaruh kepercayaan dengan adanya Kod Etika dan Tatakelakuan ini, akan kredibiliti seseorang Ahli MMN itu, bila membahas sesuatu perkara di MMN, muzakarah ataupun dialog atau bila berjumpa sebagai Ahli MMN dengan penjawat awam, tidak diketahui oleh gejala rasuah dan akan didengar dan diberi perhatian oleh mana-mana jua peringkat jentera kerajaan.
Ini kata Yang Berhormat bagi memelihara imej Ahli MMN berkenaan dan integriti Ahli MMN semasa berurus dengan mana-mana pihak kerajaan.
Yang Berhormat menegaskan Ahli-ahli MMN mestilah mempunyai sifat-sifat terpuji untuk menjawat jawatan ini dan dengan adanya Kod Etika dan Tatakelakuan ini akan menjadi garis panduan untuk dipatuhi dan bukan sahaja selagi berkhidmat sebagai Ahli MMN tetapi juga selepas berkhidmat sebagai Ahli MMN.
Pada keseluruhannya, Yang Berhormat melihat Kod Etika dan Tatakelakuan ini sebagai lengkap, walau bagaimanapun beberapa perkara di dalam kod ini perlu dihuraikan, kalau tidak timbul kesangsian dan interpretasi yang berlainan.
Yang Berhormat yakin dengan adanya Kod Etika dan Tatakelakuan ini, akan lebih jelas tentang tanggungjawab mereka selaku suara orang awam dan bagaimana masalah-masalah tersebut disampaikan kepada pihak-pihak berkuasa untuk disampaikan kembali kepada orang ramai.