Oleh : Marlinawaty HussinFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) melaksanakan penilaian berkala dan audit dalam yang merangkumi empat aspek utama iaitu tadbir urus kewangan, penyelenggaraan dan kebersihan, pengurusan sumber manusia serta keberkesanan program pengimarahan.
Langkah ini bertujuan memperkukuh tatakelola masjid yang berintegriti dan efisien serta memastikan fungsinya terserlah sebagai institusi pembangunan sahsiah ummah dan sinar perkembangan ‘siyasah’ Islam.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan mengongsikan perkara tersebut bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof mengenai penilaian prestasi dan pengukuhan tatakelola pengurusan serta pentadbiran masjid pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Bagi tadbir urus kewangan, jelas Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, pemantauan dibuat terhadap pengurusan kewangan masjid termasuk pematuhan kepada peraturan serta penyediaan penyata kewangan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Menurut Yang Berhormat, sehingga Jun 2026, sebanyak 102 daripada 108 buah masjid, surau dan balai ibadat yang mempunyai tabung masjid atau 94.4 peratus, telah menghadapkan penyata kewangan bulanan dalam tempoh yang ditetapkan. Manakala baki enam buah atau 5.6 peratus, adalah penyata yang diterima selepas tempoh yang ditetapkan.
Yang Berhormat menegaskan, kelewatan walaupun sehari tetap dikategorikan sebagai tidak mematuhi tempoh penghantaran yang telah ditetapkan.
Ke arah itu, JHEM telah menyediakan Pelan Tindakan bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan secara teratur termasuk mengenal pasti punca kelewatan, membuat pemantauan dan mendapatkan penyata yang masih belum diterima, jelas Yang Berhormat.
Yang Berhormat berkata, wang dalam tabung masjid merupakan amanah para penyumbang dan masyarakat yang mesti diurus dengan penuh ketelusan dan bertanggungjawab. Sebarang penemuan yang melibatkan ketidakpatuhan diambil tindakan mengikut peraturan yang berkuat kuasa.
Bagi penyelenggaraan dan kebersihan, kata Yang Berhormat, JHEM melaksanakan Penggredan Tandas Masjid, Surau dan Balai Ibadat setiap tiga bulan berdasarkan aspek persekitaran, penyelenggaraan, kemudahan sanitasi, papan tanda, aktiviti pembersihan dan kemudahan tambahan.
“Kaji Selidik Penilaian Kualiti Tahap Kebersihan Tandas Masjid yang dijalankan pada 2 Februari hingga 25 Mac 2026 pula menunjukkan tahap kepuasan pengguna berada pada 3.3 daripada 5.0, dan dapatan ini telah mengenal pasti beberapa masjid yang memerlukan tindakan penambahbaikan segera,” kongsi Yang Berhormat.
Tambah Yang Berhormat lagi, skor 3.3 daripada 5.0 menunjukkan tahap sederhana dan masih terdapat ruang yang jelas untuk penambahbaikan. Kementerian menjadikannya sebagai garis asas bagi tindakan pembetulan dan pengesahan susulan di masjid yang dikenal pasti.
Menyentuh mengenai pengurusan sumber manusia Yang Berhormat menjelaskan, JHEM memantau kehadiran pegawai masjid dan melaksanakan penilaian prestasi secara berterusan.
“Daripada 348 pegawai masjid di seluruh negara, kira-kira 85 peratus telah mengikuti latihan profesional dalam bidang kepimpinan, tadbir urus, pengurusan kewangan, penyampaian khutbah dan penggunaan teknologi digital dalam tempoh pelaporan tahun 2026.
“Angka ini menunjukkan liputan latihan, kompetensi dan penerapannya di tempat kerja terus dinilai melalui pemantauan prestasi,” ujar Yang Berhormat. Bagi keberkesanan program pengimarahan, kata Yang Berhormat, JHEM menetapkan petunjuk prestasi bagi pelaksanaan kuliah ugama secara holistik.
“Pada Suku Tahun Kedua 2026, sebanyak 90 buah masjid telah mencapai petunjuk tersebut berbanding sasaran 70 buah masjid.
“Sebagai pelengkap output pelaksanaan, kaji selidik kepuasan jemaah pada November 2025 mencatatkan skor purata 4.17 daripada 5.0, yang memberikan petunjuk awal penerimaan positif terhadap program-program pengimarahan yang dilaksanakan,” kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat berkata, penilaian seterusnya akan menggabungkan ukuran liputan, kualiti dan hasil supaya pencapaian tidak dinilai berdasarkan jumlah aktiviti semata-mata.
Berdasarkan penilaian yang dijalankan, jelas Yang Berhormat, KHEU sedang melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan antaranya memperkukuhkan pemantauan kebersihan berasaskan data, mempercepatkan tindakan penyelenggaraan melalui mekanisme aduan segera, memperluaskan pendigitalan pengurusan masjid serta memperkenalkan semula sistem pengiktirafan prestasi bagi masjid yang cemerlang dalam aspek pengimarahan dan kebersihan.
Melalui pendekatan ini terang Yang Berhormat, kementerian berkenaan akan terus memperkukuhkan tatakelola masjid yang berintegriti, cekap dan berkesan bagi memastikan masjid berfungsi sebagai pusat pembangunan sahsiah ummah dan institusi yang memberi impak positif kepada masyarakat.