Oleh : Rohani Haji Abdul hamid
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Ada tiga perkara dalam kehidupan rakyat, iaitu kos sara hidup, pekerjaan dan pendapatan anak tempatan, serta perumahan.
Pertama, kos sara hidup dan kuasa membeli rakyat. Kita memahami bahawa harga barang dan perkhidmatan dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk keadaan ekonomi dunia, kos pengangkutan, rantaian bekalan dan kadar pertukaran mata wang.
Namun bagi rakyat, kesan yang sangat mudah dirasakan, apabila harga meningkat, perbelanjaan keluarga turut meningkat.
Perkara berkenaan dinyatakan semasa Perbahasan Usul oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, juga Penghulu Mukim Lumapas pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat, bagi keluarga pendapatan yang tetap, mempunyai kenaikan kos makanan, pengangkutan, pendidikan dan keperluan harian boleh memberikan tekanan. Maka pada hemat Yang Berhormat, isu kos sara hidup tidak boleh dilihat hanya daripada sudut harga. Kita juga perlu melihat kemampuan rakyat untuk menanggung kos kehidupan.
Tambah Yang Berhormat lagi, harga mungkin tidak dapat kita kawal sepenuhnya tetapi kemampuan rakyat untuk menghadapi kos kehidupan boleh diperkukuhkan. Caranya ialah dengan memastikan rakyat mempunyai pekerjaan yang lebih baik, kemahiran yang lebih tinggi, peluang meningkatkan pendapatan serta sokongan yang berkesan kepada perusahaan tempatan
"Kita tidak mahu rakyat hanya mampu bertahan. Kita mahu rakyat mampu menyimpan, memiliki rumah, membesarkan keluarga dan merancang masa depan," kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan kedua, pekerjaan dan pendapatan anak tempatan. Kita mempunyai generasi muda yang berpendidikan, berkemahiran, bercita-cita dan bersedia menyumbang kepada negara.
"Persoalannya, adakah peluang yang tersedia benar-benar mampu membina masa depan mereka? Pada hemat kaola, kejayaan tidak seharusnya diukur hanya pada berapa ramai anak tempatan mendapat pekerjaan, tapi pada kualiti pekerjaan dan masa depan yang mampu dibina melaluinya.
"Adakah mereka berpeluang meningkatkan kemahiran, berkembang dalam kerjaya, meningkatkan pendapatan dan yang paling penting membina kehidupan yang lebih stabil? Pekerjaan memberikan pendapatan hari ini, tetapi kerjaya memberikan masa depan," kata Yang Berhormat lagi.
Tambah Yang Berhormat, dalam usaha menangani pengangguran, belia mesti melangkaui sekadar menyediakan pekerjaan. Kita perlu memastikan anak-anak tempatan mempunyai kemahiran yang diperlukan industri, pengalaman melalui latihan serta laluan untuk terus berkembang.
Maka kata Yang Berhormat, kejayaan program pekerjaan belia juga perlu diukur dengan lebih bermakna. Berapa ramai yang kekal dalam pekerjaan, meningkatkan kemahiran, meningkatkan pendapatan dan berkembang dalam kerjaya. Kerana matlamat kita bukan sekadar melahirkan pekerja, tetapi membina tenaga profesional, usahawan dan pemimpin masa depan negara.
"Ketiga, perumahan untuk rakyat. Pada hemat kaola, perumahan perlu terus dilihat sebagai sebahagian daripada dasar kesejahteraan keluarga bukan sekadar projek pembangunan.
"Bagi golongan muda yang baru membina keluarga, rumah yang bersesuaian boleh menjadi asas kepada kestabilan hidup. Namun, jika kos perumahan terlalu membebankan, ia boleh menjejaskan kemampuan keluarga untuk memenuhi keperluan lain.
"Maka dalam menilai dasar perumahan, kita bukan hanya perlu melihat berapa banyak rumah yang dibina, kita juga perlu melihat berapa banyak keluarga yang benar-benar dapat menikmati rumah yang bersesuaian dengan kemampuan mereka," ujar Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat menambah bagi sebuah keluarga, rumah bukan sekadar tempat tinggal, tetapi asas kestabilan dan masa depan. Justeru kejayaan dasar perumahan bukan hanya pada berapa banyak rumah yang dibina tetapi berapa ramai keluarga yang benar-benar mampu memiliki rumah yang sesuai, selesa dan memenuhi keperluan mereka.
Pada hemat Yang Berhormat, rumah yang mampu dimiliki bukan sekadar tempat untuk berlindung, tetapi ia adalah asas untuk membina kehidupan yang lebih stabil dan sejahtera.
Jika kita lihat ketiga-tiga perkara ini kata Yang Berhormat lagi, kos sara hidup, pekerjaan dan perumahan, semuanya bertitik tolak daripada satu perkara asas. Kemampuan rakyat untuk membina kehidupan yang stabil dan masa depan yang lebih baik. Apabila anak muda mempunyai pekerjaan yang baik, mereka memperoleh pendapatan yang stabil. Dengan pendapatan yang stabil, mereka lebih mampu merancang masa depan, memiliki kediaman yang sesuai dan membina keluarga yang sejahtera.
Apabila rakyat mempunyai kehidupan yang stabil jelas Yang Berhormat, masyarakat menjadi kukuh dan negara menjadi kuat. InsyaaAllah, dengan usaha yang lebih tersusun, kerjasama yang erat serta peranan para Menteri Penyelaras yang baru dilantik, kita yakin agenda ini akan terus diperkasakan dan menjadikan landasan penting ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
"Kerana pembangunan negara yang sebenar bukan hanya diukur melalui angka dan kemajuan fizikal, tetapi melalui sejauh mana rakyatnya mampu hidup dengan stabil, sejahtera dan yakin menetap masa depan.
"Maka marilah kita terus memperkukuhkan usaha meningkatkan kuasa beli rakyat, membuka lebih banyak pekerjaan dan kerjaya yang berkualiti, serta menyediakan perumahan yang bersesuaian dan apabila kehidupan rakyat semakin baik, maka negara juga akan menjadi semakin kuat.
"Semoga segala usaha dan ikhtiar kita mendapat keberkatan dan dipermudahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala, demi kemajuan negara dan kesejahteraan seluruh rakyat," ujar Yang Berhormat lagi.