Oleh: Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji AliFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan berkata ruang digital kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Oleh itu, panduan ugama yang sahih dan berautoriti juga perlu mudah dicapai, relevan dan mudah ditemukan.
Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), tambah Yang Berhormat, melaksanakan strategi yang berfokus kepada empat perkara utama, iaitu, memperluaskan kehadiran dakwah digital; menyediakan kandungan agama yang sahih dan berautoriti; menangani penyebaran maklumat agama yang mengelirukan; serta memperkukuhkan pembinaan jati diri belia melalui program yang relevan dengan perkembangan semasa.
“Dari aspek memperluaskan kehadiran dakwah melalui platform digital, Pusat Da’wah Islamiah (PDI) kini mengendalikan rangkaian dakwah merentasi sembilan platform digital utama dengan jumlah pengikut secara agregat melebihi 63,000. Platform-tersebut termasuk Instagram, Facebook, TikTok dan WhatsApp Channel yang digunakan bagi menyampaikan pengisian agama secara lebih mudah diakses oleh masyarakat, khususnya golongan muda.
“Di samping itu, Aplikasi Mushaf Brunei Darussalam yang menyediakan kemudahan pembacaan Al-Quran secara digital telah mencatat hampir 50,000 muat turun. Manakala Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan turut memperluaskan penyebaran ilmu melalui platform akademik digitalnya,” ujar Yang Berhormat bagi menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah@Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat dan Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas iaitu memperkukuh bimbingan ugama bagi belia dalam persekitaran digital.
Tambah Yang Berhormat, dari aspek ‘penyediaan kandungan ugama yang sahih dan relevan’, kementerian memberi tumpuan kepada penghasilan kandungan ugama yang berautoriti dan sesuai dengan pendekatan komunikasi semasa.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penerbitan e-Poster Infografik Khutbah Jumaat; siri video Kan Tanya Ustaz serta Podcast Da'ie Basanayan yang menyampaikan kefahaman ugama dalam format yang lebih dekat dengan golongan muda.
Kementerian juga ujar Yang Berhormat, memperkasa keupayaan para pendakwah melalui latihan dan bengkel penghasilan kandungan dakwah digital agar mesej agama dapat disampaikan secara lebih berkesan dan sesuai dengan perkembangan teknologi.
Mengenai ‘usaha menangani penyebaran maklumat agama yang tidak sahih di media sosial’, selain memperbanyakkan penyediaan sumber rujukan ugama yang sahih dan mudah diakses oleh masyarakat dari platform-platform media sosial rasmi PDI, Bahagian Penguatkuasaan Ugama turut bertanggungjawab memantau dan meneliti aduan dan maklumat khusus mengenai kandungan keugamaan yang berpotensi mengelirukan atau bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah terang Yang Berhormat.
Jika tindakan diperlukan tegas Yang Berhormat, perkara itu turut ditangani bersama agensi berkaitan undang-undang dan bidang kuasa masing-masing.
“Sekiranya timbul isu yang memerlukan penjelasan, kementerian akan mengeluarkan penerangan rasmi melalui saluran-saluran yang berautoriti sebagai panduan kepada orang ramai.
“Sebagai contoh, beberapa hari yang lalu, kementerian telah mengeluarkan satu kenyataan media untuk mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap program keagamaan dan kerohanian yang tidak mendapat kebenaran MUIB, susulan pengesanan aktiviti oleh individu atau kumpulan tertentu yang dipercayai cuba mempengaruhi masyarakat serta menyebarkan ajaran yang meragukan atau bercanggah dengan syariat Islam dan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah,” kata Yang Berhormat.
Di samping itu, tambah Yang Berhormat, Khutbah Jumaat turut dimanfaatkan sebagai medium penyampaian dan penjelasan terhadap isu-isu semasa yang berkaitan dengan kefahaman agama.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan mengenai ‘usaha memperkukuhkan pendidikan agama dan bimbingan belia dalam era digital’, kementerian melaksanakan pelbagai program yang menggabungkan pendekatan digital dan bersemuka bagi membina sahsiah, jati diri dan nilai keagamaan dalam kalangan belia.
Antaranya ialah Program Keagamaan Senegara (PKS) yang dilaksanakan secara berkala di sekolah-sekolah Arab dan sekolah-sekolah ugama seluruh negara dengan pengisian yang menyentuh aspek akidah, akhlak, kenegaraan, kekeluargaan, pencegahan gejala sosial serta pembangunan sahsiah.
Selain itu tambah Yang Berhormat, Jabatan Pengajian Islam melaksanakan Program Husnul Khuluqi bagi golongan remaja. Manakala Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara menganjurkan pelbagai program kepimpinan, pembangunan diri, kemahiran digital, kerohanian, kesukarelawanan dan kemasyarakatan bagi menggalakkan penglibatan aktif belia dalam aktiviti masjid dan pembangunan masyarakat.
“Alhamdulillah, berdasarkan rekod sesi 2025-2026, seramai 3,102 orang belia dan beliawanis telah berdaftar di bawah Kumpulan Belia Masjid Senegara. Daripada 120 buah masjid, surau dan balai ibadat yang disenaraikan, sekitar 91 buah mempunyai keahlian belia yang aktif berdaftar.
Di mana pelbagai program telah dilaksanakan, antaranya Program IMPACT, Malam Munajat, Digital Workshop, Team Building Belia, pertandingan video dakwah, program khidmat masyarakat dan lawatan sambil belajar, yang bertujuan membentuk belia berakhlak, berkemahiran dan aktif dalam pengimarahan masjid,” kata Yang Berhormat.
Kongsi Yang Berhormat, pendekatan kementerian ialah memanfaatkan platform digital sebagai medium untuk mendekati dan menarik minat belia. Manakala program bersemuka terus diperkukuhkan bagi membentuk akhlak, sahsiah dan penghayatan nilai-nilai Islam secara berterusan.
Melalui pendekatan yang menyeluruh ini terang Yang Berhormat, kementerian akan terus memperluaskan dakwah dan pendidikan agama yang relevan dengan cabaran era digital, di samping memastikan masyarakat, khususnya golongan belia, memperoleh panduan agama yang sahih serta mempunyai ketahanan diri dalam menghadapi pengaruh maklumat yang mengelirukan, isu moral dan cabaran sosial semasa.
“Ruang digital bersifat terbuka dan cepat berubah. Oleh itu, tumpuan kementerian ialah memastikan sumber yang sahih dan berautoriti mudah ditemukan, di samping membekalkan golongan belia dengan keupayaan menilai kewibawaan sumber, membandingkan maklumat dan mendapatkan penjelasan daripada pihak berautoriti. Namun, peranan ibu bapa dan penjaga juga adalah sangat penting.
“Pendidikan ugama secara formal sedia ada perlu diperkukuh melalui teladan, bimbingan dan amalan yang konsisten di rumah, umpamanya memimpin anak-anak mengerjakan kewajipan sembahyang fardu, menjaga adab pergaulan dan penjagaan aurat dan penggunaan ruang digital secara bertanggungjawab. Kementerian merakamkan sekali lagi penghargaan kepada kedua-dua Yang Berhormat atas soalan yang membina ini,” jelas Yang Berhormat.