Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BELAIT, Khamis, 26 November. – Dikir Syarafil Anam merupakan salah satu khazanah berharga yang diwarisi oleh orang-orang Melayu Brunei dan salah satu kebudayaan beragama yang telah diamalkan dalam kehidupan orang-orang Brunei sejak zaman berzaman.
Dikir Syarafil Anam mengandungi selawat dan salam serta kisah kehidupan dan keperibadian Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang telah dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dengan banyak keistimewaan.
Sehubungan itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Imarah dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait mengadakan Pertandingan Dikir Syarafil Anam bagi Pegawai Masjid, AJK Takmir Masjid, Muslimah Masjid, Jemaah Masjid, Belia dan Beliawanis Masjid Senegara Bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.
Sebanyak dua kategori dipertandingkan pada pertandingan yang diadakan petang tadi di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait iaitu Kategori Lelaki dan Kategori Perempuan.
Bagi Kategori Lelaki, johan disandang oleh Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait 'A', diikuti naib johan diraih oleh Masjid An-Na’im, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, Mengkubau; manakala tempat ketiga milik Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Sementara johan bagi Kategori Perempuan ialah Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar; diikuti naib johan milik Masjid Haji Abd. Azim, Kampung Luagan Dudok, Daerah Tutong; manakala tempat ketiga diraih oleh Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani.
Tujuan pertandingan berkenaan diadakan adalah bagi memberikan bimbingan, pendedahan serta peluang kepada para peserta mempelajari teknik berdikir yang betul dan mampu mempersembahkan Dikir Syarafil Anam dengan baik dan sempurna, yang secara tidak langsung dapat memperbaiki dan meningkatkan lagi mutu bacaan Dikir Syarafil Anam dari segi fashahah, lagu dan suara.
Di samping itu, menggalakkan para peserta untuk terus mempelajari dan menguasai lagu-lagu dikir supaya dapat menyampaikan hajat masyarakat awam khususnya bagi menyerikan acara keagamaan. Ia juga dihasrat agar para peserta sentiasa mengamalkan selawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam setiap hari semata-mata untuk beroleh pahala, berkat dan rahmat dari Allah Subhanahu Wata'ala.